Kuala Lumpur, 15 Februari 2012 - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melancarkan Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia (HPM) 2012.

Pertandingan Kepenggunaan HPM 2012 ini merupakan acara tahunan kali yang ke-11, dianjurkan oleh FOMCA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), serta disokong oleh pelbagai pihak, seperti Kementerian Pelajaran Malaysia, Standards Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan sebagainya.

Sebanyak 10 jenis pertandingan dijalankan pada tahun 2012, iaitu:

  1. Pertandingan Mengarang Esei Kepenggunaan
  2. Pertandingan Melukis Poster dan Mereka Bentuk Poster Grafik Kepenggunaan
  3. Pertandingan Melukis Kartun Kepenggunaan
  4. Pertandingan Blog Kepenggunaan
  5. Pertandingan Fotografi Kepenggunaan
  6. Pertandingan Buku Skrap Kepenggunaan
  7. Pertandingan Video Montaj
  8. Pertandingan ‘Speak Up’
  9. Pertandingan Mewarna Kepenggunaan
  10. Pertandingan Anugerah Penyertaan Terbanyak Peringkat Sekolah

Pada tahun 2011, pertandingan Speak Up kali pertama diadakan. Pertandingan ini mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada sekolah menengah, kolej matrikulasi, institut pendidikan guru dan institusi pengajian tinggi. FOMCA berharap lebih banyak penyertaan akan diterima bagi pertandingan pada tahun 2012. Pertandingan Speak Up memerlukan pasukan yang terpilih untuk menyediakan sebuah projek kemasyarakatan di tempat masing-masing. Pasukan yang terpilih akan diberikan geran tertentu untuk melaksanakan projek tersebut dan bahan projek yang akan dipamerkan semasa majlis penyampaian hadiah nanti.

Sambutan Penyertaan Pertandingan Menggalakkan
Pertandingan kepenggunaan HPM mendapat penyertaan yang amat menggalakkan pada setiap tahun, Pada tahun 2010, pertandingan ini mendapat penyertaan keseluruhan sebanyak 61,044, yang telah melayakkannya disenaraikan dalam Malaysia Book of Records. Manakala pada tahun 2011, jumlah penyertaan meningkat dengan begitu memberangsangkan, iaitu 94,998. 

Peningkatan penyertaan ini disebabkan oleh promosi pertandingan yang begitu giat diadakan di seluruh negara, iaitu sesi penerangan di sekolah-sekolah rendah dan pertandingan mewarna yang diadakan di pasar raya yang terpilih, sekolah rendah dan pusat Komuniti. 

Sebanyak RM200,000 hadiah wang tunai diperuntukkan sebagai hadiah keseluruhan pertandingan. Semua peserta yang menyertai pertandingan kepenggunaan akan diberikan sijil penyertaan yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tarikh tutup penyertaan dan majlis penyampaian hadiah
Tarikh tutup pertandingan kepenggunaan HPM 2012 ini pada 23 Mei 2012, manakala majlis penyampaian hadiah dan pertandingan mewarna akhir dijangka akan diadakan pada 14 Julai 2012.

Bagi pertandingan Speak Up pula, majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada bulan November 2012, sempena dengan Majlis Sambutan Hari Standard Sedunia.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2012 boleh melayari laman sesawang: www.mypengguna.com.