Kuala Lumpur, 31 Oktober 2011 - Sebagai penutup Kempen Bulan Kewangan Berhemat 2011, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menganjurkan Majlis Dialog antara Pengguna dan Industri Kewangan di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Majlis Dialog, yang dihadiri oleh hampir 140 orang wakil daripada industri perbankan, insurans dan takaful ini, telah dipengerusikan oleh Encik Abu Hassan Alshaari Yahaya, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Majlis Dialog dimulakan dengan ucapan Encik Abu Hassan Alshari dan Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA, serta diikuti dengan pembentangan oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) , Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Pelbagai topik telah dikemukakan dalam majlis dialog ini , yang merangkumi perkhidmatan kewangan yang berkaitan dengan pengguna. Secara keseluruhannya, dialog ini mencapai kata sepakat bahawa sektor perkhidmatan kewangan perlu memberikan perhatian terhadap khidmat pelanggan dalam usaha menyelesaikan pertikaian pelanggan dengan sebaik mungkin. 

Semua wakil perkhidmatan kewangan yang hadir juga bersetuju untuk menyediakan pegawai yang khusus untuk berurusan dengan NCCC supaya aduan yang diterima oleh NCCC terhadap perkhidmatan kewangan dapat diselesaikan secara lebih cepat dan berkesan.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)