PETALING JAYA, 30 JUN 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) semalam telah mengumumkan pencapaian Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) bagi tahun 2009.

Laporan Kempen 3K 2009 ini telah disediakan untuk diserahkan kepada Petronas, yang merupakan Rakan Kempen Kelima bagi kempen ini.

Kempen 3K telah dilancarkan oleh FOMCA pada bulan Jun 2008, yang turut dianggotai oleh tiga rakan kempen lain, iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM), Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Petronas menyertai Kempen 3K pada 1 Januari 2009.


Pada 1 Januari 2009, PETRONAS telah menjadi Rakan Kempen 3K yang kelima.

Tema Kempen 3K ialah “Perubahan Bermula Dengan Saya”. Kempen ini memberikan tumpuan kepada perubahan minda dan sikap pengguna bagi menghadapi cabaran persekitaran ekonomi yang baru.

Laporan Kempen 3K 2009 mengandungi maklumat tentang program dan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2009.

Antara program yang telah dijalankan ialah bengkel latihan kepada masyarakat bandar dan luar bandar sebanyak 171 buah yang melibatkan lebih daripada 14,000 orang peserta. Pada tahun 2009 juga enam kempen kebangsaan telah diadakan, iaitu Minggu Tidak Menonton TV pada 21 April 2009, Hari Tidak Berbelanja pada 16 Julai 2009, Kempen Wanita Sebagai Pengguna pada 10 Mac 2009, Kempen Lindungi Anak Kita pada 12 Oktober 2009, Kempen Tanam Sendiri, Jimat Belanja pada 14 November 2009 dan Kempen Gaya Hidup Sihat pada 12 Disember 2009.

Selain itu, sebanyak 25 risalah berkaitan aspek penggunaan berhemat telah diterbitkan pada tahun 2009. FOMCA juga menganjurkan Kempen Cabaran Eko Remaja, mewujudkan laman sesawang khusus untuk Kempen 3K dan program kesedaran di radio.

Laporan Kempen 3K 2009 turut memuatkan hasil kaji selidik yang telah dijalankan ke atas 30 orang peserta yang telah menyertai bengkel latihan Kempen 3K. Kaji selidik ini dilakukan dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan selepas para peserta itu menghadiri bengkel latihan.

Kaji selidik tersebut menunjukkan perubahan yang dilakukan oleh peserta selaras dengan matlamat Kempen 3K. Antaranya ialah menutup lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan, menggunakan bakul (tidak lagi menggunakan troli) apabila membeli belah, menarik plag apabila tidak menggunakan peralatan elektrik, mengutip dan menggunakan air hujan untuk menyiram tanaman, menggunakan beg 3K untuk membeli belah (tidak lagi menggunakan beg plastik).

Perubahan lain ialah mengosok pakaian seminggu sekali, membaca label makanan, menyediakan senarai barangan sebelum keluar membeli belah, membuat anggaran perbelanjaan sebelum membeli belah dan hanya membawa wang secukupnya sahaja, membuka akaun simpanan di bank, memeriksa resit pembayaran bagi memastikan ketepatan harga, menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan, mengurangkan makan di luar, memaksa anak-anak mengurangkan masa menonton televisyen, menanam sayur-sayuran di halaman rumah, mengetepikan wang untuk simpanan dahulu sebelum membelanjakan pendapatan, membeli berdasarkan keperluan, bukannya kehendak dan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum membeli.

FOMCA telah mengadakan sidang media bagi memaklumkan tentang kandungan Laporan Kempen 3K, yang dihadiri oleh Dato’ Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Encik Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan FOMCA dan dua orang wakil daripada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Petronas, iaitu Puan Suzana Che Mat dan Puan Julia Jaafar.

Dalam sidang media tersebut, Dato’ Paul Selva Raj telah menyerahkan satu salinan Laporan Kempen 3K 2009 kepada Puan Suzana Che Mat sebagai simbolik penyerahan laporan tersebut kepada pihak Petronas.

 

Mohd Yusof Abdul Rahman