Jun 10, 2022 09:50 MYT
SIBU: Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa masyarakat untuk membuat aduan berhubung kerosakan jalan bagi memastikan tindakan dapat diambil dalam kadar segera sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata respons daripada pengguna jalan raya amat penting dalam menyalurkan maklumat mengenai masalah yang dihadapi agar ia dapat ditangani dengan berkesan.

“Ini yang kita laksanakan di peringkat kementerian. Kita wujudkan ruang aduan jalan raya tanpa mengira isu.

"Apa sahaja yang berkaitan dengan jalan, anda boleh kemukakan aduan kepada kami.

“Oleh itu, kita boleh menyalurkan perincian mengenai aduan kepada agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Program FTRoadpedia KKR 2022 Lebuhraya Pan Borneo di sebuah hotel terkemuka di Sibu pada Khamis.

Menurutnya terdapat tiga jenis jalan secara umumnya dikenali sebagai jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan majlis.

Kesemua jalan tersebut katanya diuruskan oleh tiga entiti berbeza dengan jalan persekutuan di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, manakala jalan negeri dikawal selia oleh kerajaan negeri, dan majlis perbandaran atau majlis daerah bertanggungjawab terhadap jalan majlis.

“Tiga jalan ini mempunyai kod pengenalan tersendiri, jadi dengan aduan yang dibuat, ia boleh ditangani dengan segera seterusnya dapat mengelakkan kekeliruan peranan yang dilakukan oleh JKR Malaysia.

“Realitinya, apabila terdapat isu jalan rosak, Menteri Kerja Raya yang akan dipersoalkan, dimarah terlebih dahulu tidak kira jalan mana sekalipun.

“Sebab itu dalam kes seperti ini, perlunya aduan dibuat menerusi ruang aduan yang telah disediakan oleh KKR,” katanya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lapor-segera-jalan-rosak-kepada-kkr-fadillah-365551