Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu kerajaan mengawal selia penggunaan ‘teksi sapu’ menggunakan aplikasi Uber dan GrabCar bagi membendung masalah yang tidak diingini di masa hadapan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihaknya menyarankan supaya pemandu  dan kenderaan yang digunakan dalam perkhidmatan ‘teksi sapu’ itu didaftarkan kerana semua data berkenaan berguna di kemudian hari terutama jika berlakunya kemalangan atau kes berkaitan jenayah.

“Memang tidak dinafikan bahawa perkhidmatan teksi sapu itu kini menjadi pilihan orang ramai kerana dikatakan lebih selesa dan murah berbanding teksi biasa.

“Namun, orang ramai tidak seharusnya meminggirkan isu keselamatan diri sendiri kerana penumpang teksi sapu biasanya tidak tahu siapa pemandu  atau pemilik kenderaan yang dinaiki.

“Jika pemandu dan kenderaan itu didaftarkan, ia memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka sekiranya masalah timbul kelak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai isu perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar yang dibantah ramai pemilik teksi kerana menjejaskan pendapatan mereka.

Menurut Mohd Yusof, pemilik teksi di negara ini perlu melihat kewujudan perkhidmatan itu sebagai satu saingan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Katanya, masyarakat dipercayai memilih beralih kepada perkhidmatan teksi sapu itu kerana kurang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh teksi biasa.

“Sebelum ini kita kerap mendengar kes pemandu teksi yang tidak menggunakan meter dan meletakkan tambang sesuka hati.

“Keadaan itu sedikit sebanyak mempengaruhi persepsi orang awam terhadap mutu perkhidmatan teksi yang ada pada hari ini dan ia seharusnya wajar dijadikan sebagai iktibar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof turut menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya segera mencari jalan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, SPAD tidak boleh lepas tangan sebaliknya perlu mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan kemelut itu.

 

Sumber : Harian Metro – Setempat - (20 November 2015, Jumaat)