Institusi kewangan di Malaysia semakin berkembang dan berdaya saing dalam memperkenal produk perbankan mereka kepada semua lapisan masyarakat. 
Pelbagai jenis produk ditawarkan kepada semua peringkat umur tidak kira sama ada kanak- kanak, remaja, golongan dewasa mahupun warga emas. Kedua- dua institusi perbankan Islam dan konvensional sama hebat dalam mempromosikan produk mereka, seperti akaun simpanan, pelaburan, pinjaman, kad kredit, insurans dan pelbagai lagi. 

Seperti yang sedia maklum, kadang kala pihak bank akan menghubungi bakal pelanggan untuk menawarkan produk mereka. Segala penerangan tentang yang berkaitan produk mereka akan diterangkan menerusi panggilan telefon tersebut. 

Menyedari tentang kepentingan menggunakan saluranini, maka terdapat sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menghubungi para pengguna dan memperkenal diri mereka sebagai wakil pihak bank. Produk yang sering digunakan oleh mereka adalah insurans dan takaful.

Pihak ini akan memperkenal nama dan jabatan mereka sebelum memperkenal produk tersebut. Ini bertujuan untuk mendapatkan kepercayaan pengguna. Kemudian, mereka akan menerangkan tentang bagaimana produk tersebut berfungsi dan apakah faedah yang akan diperolehpengguna sekiranya mereka melanggan produk tersebut. Kebiasaanya, apabila  melanggan sesuatu perkhidmatan atau produk, pengguna akan diberikan borang untuk diisi dan ditandatangani. Segala dokumen yang berkaitan akan diberikan kepada pengguna. 

Namun, cara yang digunakan oleh pihak ini berlainan sama sekali.Mereka hanya meminta nombor kad pengenalan dan nombor akaun bank daripada pengguna tanpa perlu mengisi apa- apa borang kerana persetujuan pengguna telah dirakam dalam perbualan tersebut. Salinan dokumen yang berkaitan juga dikatakan akan diberikan kepada pengguna selepas beberapa hari. Tetapi hakikatnya tiada dokumen yang berkaitan diberikan sama sekali.

Apabila pengguna berhenti membuat bayaran, pihak ini akan menghubungi pengguna dan meminta sejumlah wang yang lazimnya mencecah ribuan ringgit. Mereka akan mengugut dengan memaklumkan bahawa nama pengguna sudah disenaraihitamkan dan kes sudah dibawa ke mahkamah. Kadangkala pihak ini juga akan meyamar sebagai pegawai dari mahkamah bagi menakutkan pengguna yang telah melanggan produk tersebut yang kononnya wujud dan beroperasi. 

Pengguna yang menghadapi situasi seperti ini disarankan supaya:

 

  1. Jangan sesekali berikan nombor kad pengenalan dan nombor akaun tanpa bukti yang kukuh daripada pihak ini.
  2. Semak dahulu sama ada nombor yang tertera di telefon bimbit benar- benar daripada bank yang berkenaan. Nombor telefon bank lazimnya boleh disemak di internet.
  3. Elakkan untuk menerima tawaran menerusi telefon. Adalah lebih wajar untuk terus ke cawangan bank bagi mengelakkan masalah seperti penipuan daripada berlaku.
  4. Anda juga boleh menyemak maklumat kredit anda dengan Biro Kredit Bank Negara (Central Credit Reference Information System (CCRIS)). Anda boleh menyemak segala maklumat kredit dan juga akaun- akaun bank anda dengan biro kredit ini. Selain itu, jika anda dikatakan telah disaman kerana tidak membayar ansuran bulanan insurans, anda boleh menyemak status nama anda dgn CCRIS bagi memastikan sama ada saman mahkamah benar- benar telah difailkan atas nama anda.

Adalah lebih wajar jika pengguna mendapatkan khidmat nasihat atau menyemak nama syarikat yang menawarkan khidmat insurans itu kepada Bank Negara terlebih dahulu supaya pengguna dapat mengelakkan diri mereka daripada ditipu.  

Nurul Husna Mohd Yusof
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)