Semenjak kebelakangan ini, bank-bank dan syarikat pengeluar kad kredit semakin  agresif mempromosi kad kredit di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah, pasar raya besar dan sebagainya. 

Ramai pengguna yang telah berjaya dipikat untuk memiliki kad kredit melalui promosi agresif tersebut. Malangnya, mereka ini tidak terjamin sebarang bentuk perlindungan atau kepentingan keselamatan daripada taktik pemasaran seperti ini. Tiada jaminan bahawa pengguna itu tidak menjadi mangsa penipuan, yang mungkin berperanan sebagai ejen atau staf pengeluar kad kredit untuk mendapatkan data peribadi untuk sesuatu aktiviti yang tidak beretika. 

Pengguna sentiasa terdedah dengan risiko tinggi bahawa mereka boleh menjadi mangsa kegiatan mencuri identiti. Yang menjadi kebimbangan utama adalah mereka yang tidak bertanggungjawab mungkin menggunakan data peribadi pengguna untuk membuat permohonan kad kredit daripada bank lain atau menjual maklumat kepada pihak ketiga.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) ingin menasihatkan pengguna agar berhubung terus kepada bank atau syarikat pengeluar kad kredit bagi mengelakkan diri daripada risiko tinggi dan keselamatan maklumat peribadi mereka.

Gunakan hak dan tanggungjawab anda dengan sebaik mungkin dalam menangani promosi yang aggresif dan taktik pemasaran oleh pihak ketiga. Terdapat pelbagai jenis kad kredit di pasaran. Anda harus membuat pilihan yang bijak dengan mendapatkan maklumat yang terperinci mengenai kad kredit yang ditawarkan dan buat perbandingan yang terbaik. 

NCCC banyak menerima aduan daripada pengguna, yang menunjukkan bahawa pengguna sebenarnya tidak jelas dengan sifat-sifat kad kredit yang mereka miliki. Pengguna seharusnya jelas dengan terma dan syarat serta caj-caj yang dikenakan bagi mengelakkan kekeliruan dan masalah pada masa hadapan. 

Anda hendaklah mengawal perbelanjaan kad kredit anda jika anda memiliki banyak kad kredit dan telah mencapai had maksimum yang ditetapkan. Apatah lagi jika anda hanya membayar bayaran minimum pada setiap bulan. 

Pihak Bank juga dinasihat agar melakukan promosi kad kredit dengan lebih bertanggungjawab agar kepentingan dan keselamatan pengguna sentiasa dilindungi. Aktiviti promosi hendaklah dilakukan oleh staf bank atau syarikat pengeluar kad kredit sendiri, dan bukannya pekerja sambilan. Ini bagi mengelakkan daripada penyebaran maklumat yang tidak tepat. Penjelasan produk kad kredit yang betul dan jelas dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan. Ini dapat membina perhubungan yang baik antara pengguna dengan bank dan syarikat pengeluar kad kredit bagi memberikan perkhidmatan yang baik.  

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)