Bolehkah anda hidup tanpa melayari Facebook? Adakah anda mengemas kini akaun Facebook setiap hari? Adakah anda juga tergesa-gesa hendak berkongsi gambar anda dengan kawan-kawan anda menerusi Facebook? Jika jawapan anda ialah ya, anda mungkin ialah salah seorang daripada mereka yang menyumbang untuk menjadikan Malaysia salah satu negara yang mempunyai pengguna Facebook yang ramai di dunia. 

Menurut laporan daripada kajian TNS Survey International, rakyat Malaysia mempunyai rakan Facebook yang paling ramai di dunia, iaitu secara purata setiap pengguna Facebook mempunyai sebanyak 233 rakan dalam akaun mereka. Rakyat Malaysia juga menghabiskan masa yang paling banyak di Facebook, iaitu sebanyak 9 jam seminggu. Facebook juga merupakan laman sosial yang paling banyak dikunjungi oleh rakyat Malaysia, yang mempunyai lebih daripada 10 juta pemilik akaun Facebook. Jumlah ini dijangka akan melebihi 20 juta pada tahun 2012. Pengguna Facebook di Malaysia juga merupakan pengguna Facebook yang paling aktif di dunia. 

Berdasarkan statistik yang mengagumkan ini, adakah anda menyedari risiko di sebaliknya? Facebook mempunyai ahli sebanyak 400 juta di dunia. Pada Februari 2010, laman sosial ini telah berjaya menarik sebanyak 100 juta pengguna mengguna telefon bimbit mereka melayari laman ini secara aktif. Kini terdapat lebih daripada 3 bilion gambar dimuatnaikkan ke Facebook setiap bulan,  dan lebih daripada 500,000 aplikasi yang aktif wujud di  platform tersebut.

Menurut Agence France-Presse, kajian terbaharu menunjukkan 7.5 juta daripada 20 juta pengguna Facebook berusia kurang daripada 13 tahun dan sejuta daripada mereka pernah dibuli, diganggu atau diugut di laman social ini. 

Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa lebih daripada 5 juta pengguna Facebook adalah umur 10 tahun atau lebih muda. Kebanyakan mereka dibenarkan melayari Facebook tanpa pengawasan ibu bapa. Lebih daripada 5 juta isi rumah di Amerika Syarikat pernah menjadi mangsa penyalahgunaan dalam Facebook termasuk jangkitan virus, pencuri identiti, dan buli. 

Walaupun tidak terdapat statistik di Malaysia tentang mangsa penyalahgunaan Facebook di Malaysia, namun hasil kajian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) di sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang, mendapati lebih 80% daripada 500 pelajar tersebut mempunyai akaun Facebook, termasuk juga mereka yang berusia 7 tahun. Daripada satu tinjauan itu juga mendapati bahawa 58% daripada responden mempunyai pengalaman yang menakutkan, menjijikkan atau membimbangkan menerusi internet. 

Kebelakangan ini, terdapat kes mengenai gangster menggunakan Facebook sebagai platform untuk mengajak pelajar-pelajar sekolah untuk menjadi ahli mereka. Mereka juga menganjurkan acara perlumbaan haram, menggunakan gambar-gambar selebriti yang terkenal untuk menarik perhatian orang lain untuk mengunjungi laman sosial mereka. Kumpulan ini biasanya mensasarkan pelajar sekolah menengah dan menawarkan perlindungan kepada pelajar yang menjadi ahli mereka. 

Facebook telah menetapkan had umur 13 dan ke atas untuk membuka akaunTetapi, sistem yang wujud sekarang tidak dapat mengesan bahawa seseorang itu yang cuba menipu tentang umur sebenar mereka. Walaupun bagi mereka yang berumur 13 ke atas, mereka masih mudah terdedah kepada risiko internet. Berapa ramai di antara mereka yang melayari internet di bawah pengawasan ibu bapa? Adakah ibu bapa mengetahui apa yang anak mereka melakukan di internet ataupun masalah yang anak mereka menghadapi semasa menggunakan internet? Terdapat pelbagai kemungkinan risiko internet seperti pencuri identiti, jangkitan virus atau pornografi. 

Dunia sedang menghala ke arah zaman tanpa sempadan disebabkan oleh kewujudan internet. Orang muda lebih pandai menggunakan alat-alat digital berbanding ibu bapa mereka. Disebabkan pelbagai kemungkinan yang sedia ada di internet, ibu bapa tidak dapat mengelakkan daripada melindungi anak-anak mereka daripada risiko internet. Mereka perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mengajar anak mereka mengenai keselamatan internet menerusi penggunaan perisian keselamatan internet yang terdapat di pasaran. 

Ibu bapa perlu sentiasa mempertingkatkan pengetahuan mereka tentang isu-isu semasa berkaitan dengan keselamatan internet. Komputer dan perkhidmatan internet patut diletakkan di ruang terbuka di dalam rumah, dan bukannya di dalam bilik tidur anak-anak. Ibu bapa boleh membimbing anak-anak mereka semasa menggunakan internet. Mereka patut berbincang dengan anak-anak mereka tentang risiko internet dan cara untuk melindungi diri sendiri seperti jangan meletakkan sebarang butiran peribadi di internet. 

Kerajaan berhasrat untuk membanteras kegiatan samseng siber. Mungkin keselamatan internet, terutamanya untuk kanak-kanak perlu diberikan tumpuan. Kajian lanjut perlu dijalankan untuk mengenal pasti penggunaan internet dan laman sosial dalam kalangan golongan muda di Malaysia. Risiko dan masalah yang dihadapi oleh golongan tersebut juga patut diberikan perhatian untuk mewujudkan suasana penggunaan internet yang selamat untuk kanak-kanak. Pendidikan juga sangat penting untuk kanak-kanak dan ibu bapa untuk mengetahui cara melindungi mereka daripada risiko di internet. 

Yu Kin Len 
Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC)