SMS Spam telah menjadi gangguan kepada pengguna telefon bimbit. Semua syarikat- telekomunikasi mengenakan caj kepada pengguna untuk SMS spam daripada nombor-nombor yang tidak dikenali. Biasanya caj untuk setiap SMS spam adalah RM 3, RM 4 dan ada juga RM 5.

Persoalannya, bagaimanakah maklumat peribadi yang sepatutnya disimpan secara rahsia oleh syarikat telekomunikasi diketahui oleh pihak ketiga? Perkara ini menimbulkan rasa ketidakpuasan hati pengguna  terhadap pihak pembekal perkhidmatan. Syarikat- telekomunikasi pula tidak mengambil tindakan yang konkrit untuk mengelakkan pelanggan mereka menjadi sasaran spammer. 

Ada juga syarikat-syarikat yang mendedahkan maklumat peribadi pelanggan mereka kepada pihak yang ketiga untuk tujuan pemasaran. Ini memudahkan penyebaran SMS Spam yang menjanjikan ganjaran atau hadiah lumayan pada telefon bimbit pengguna.

Akta Perlindungan Data Peribadi bertujuan untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam transaksi komersial. Pemprosesan data peribadi oleh seseorang pengguna data hendaklah mematuhi prinsip perlindungan data peribadi. Oleh itu, syarikat telekomunikasi tidak boleh mendedahkan maklumat mengenai nombor telefon pelanggan mereka kepada pihak ketiga. 

Semua syarikat telekomunikasi hendaklah menggunakan satu sistem untuk mengelakkan daripada SMS Spam kerana pengguna terpaksa menanggung kerugian disebabkan SMS Spam.

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)