Terdapat berbagai-bagai rupa bentuk jalan raya. Ada yang diturap tar seperti di lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri. Begitu juga jalan tanah merah, kawasan pedalaman dan ada yang lebih teruk lagi jalan yang berlopak dan berlubang-lubang.

Keadaan permukaan jalan boleh memberi kesan kepada kereta. Antaranya, kesan kepada prestasi bahagian suspensi pada kereta tersebut.

Adakalanya, ia akan mengeluarkan bunyi yang kurang menyenangkan ketika memandu apabila melalui kawasan yang tidak rata. Keadaan ini pasti menimbulkan kegusaran sekiranya secara tiba-tiba kereta rosak di tengah jalan.

Kebiasaannya bahagian suspensi tidak hanya tertumpu pada komponen penyerap hentakan semata-mata. Terdapat peralatan lain juga berkait rapat dengan bahagian terbabit jika berlaku sebarang kegagalan fungsi di situ. Antara komponen sokongan yang saling bersangkutan dengan bahagian ini ialah termasuk absorber top mounting, absorber top mounting plate, pelapik getah bahagian getah bahagian atas dan bawah spring, stabilizer link dan getah pada batang stabilizer.

Dengan hanya menggantikan penyerap hentakan apabila bunyi mula kedengaran ketika kereta dipandu, masih tidak mencukupi. Pemeriksaan terhadap komponen sokongan juga dianggap penting untuk memastikan ia tidak rosak atau haus. Komponen-komponen terbabit berkemungkinan turut mengalami kerosakan disebabkan sistem suspensi yang gagal berfungsi membuat serapan bunyi dan gegaran. Sekiranya pemilik kereta hendak membuat penggantian terlalu banyak komponen di dalam sistem berkenaan, mereka dinasihati supaya menukar keseluruhan bahagian sistem suspensi yang dikenali sebagai set penyerap hentakan bagi mengelakkan pembaziran masa, kerosakan yang berterusan, dakwaan kerosakan palsu oleh mekanik yang tidak bertanggungjawab kerana mementingkan wang dan lain-lain.

Walaupun kos untuk menukar keseluruhan suspensi agak tinggi, tetapi ia adalah murah jika menukarnya satu persatu. Sehubungan dengan itu, pemandu perlu berhati-hati dalam membuat keputusan apabila membuat perbaikan membabitkan komponen dan peralatan pada kereta supaya memastikan kereta sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

 


Mageswaran Senderal
ERA Consumer Malaysia