Satu standard ISO yang baru telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Standardisasi Antarabangsa (ISO) untuk membantu makmal-makmal mengesan bakteria salmonella dalam air secara konsisten. Standard ini dikatakan selari dan menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam subjek yang sama baru-baru ini.

ISO 19250:2010 Kualiti Air - Pengesanan Salmonella spp, menentukan kaedah untuk mengesan bakteria salmonella dalam sampel air dan yang digunakan untuk keperluan air minum dan rekreasi. Bakteria Salmonella wujud secara meluas di seluruh dunia. Patogenesis (cara jangkitan) mereka bervariasi dan bergantung kepada spesies dan sistem perumah (host).

Salmonella biasanya dijumpai dalam perumah seperti manusia, ternakan pertanian dan domestik dan haiwan liar termasuk burung. Salmonella mungkin berada di dalam semua jenis air sisa domestik, pertanian, air tawar, air minum, air laut dan tanah.

Setelah menjangkiti manusia, Salmonella boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan seterusnya menyebabkan seseorang itu sakit untuk satu jangka masa yang panjang.

Menurut PBB, sebanyak 884 juta orang dianggarkan tidak mempunyai akses kepada air minum yang selamat. Secara keseluruhannya, seramai lebih daripada 2.6 bilion orang tidak mempunyai akses terhadap sanitasi asas.

Penerbitan ISO 19250:2010 adalah tepat pada waktunya dan sejajar dengan resolusi yang telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB yang menegaskan bahawa "Safe and clean drinking water and sanitation is a human essential to the full enjoyment of life and all other human rights”.

Standard ini juga akan membantu untuk memenuhi salah satu daripada tujuan Matlamat Pembangunan Milenium PBB yang mensasarkan pengurangan orang yang tidak boleh mencapai sanitasi atau membeli air minum yang selamat sebanyak 50% menjelang tahun 2015.

Standard ISO 19250:2010 - Water Quality - Detection of Salmonella spp, ini dikembangkan oleh jawatankuasa teknikal ISO ISO / TC 147 - jawatankuasa air kaedah mikrobiologi.


Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia