Hanya dengan klik butang tetikus pengguna tidak perlu pergi ke pusat membeli belah, sebaliknya boleh mendapatkan barang-barang yang dikehendaki dengan melayari laman sesawang seperti Ebay.com atau Mudah.com. Pembelian dalam talian mendapat sambutan yang baik daripada pengguna sehingga mereka mendapat pengalaman tersendiri sebagaimana yang dialami oleh beberapa orang pengadu.

“Saya telah ditipu oleh M, setelah membuat pembelian dalam talian. Pembayaran sebanyak RM5000 telah dimasukkan ke dalam akaun M pada 20 Ogos 2010 bagi urusniaga membeli sebuah kamera jenis Canon 5d Mark II. Namun setelah menerima wang melalui perbankan internet, M terus berdalih dan tidak menghantar barang kepada saya. Laporan polis telah dibuat pada 23.08.2010”.

“Saya telah membuat pembelian sebuah beg dalam talian dengan harga RM199. Namun apabila menerima beg tersebut, saya dapati ciri-ciri pada beg itu berbeza dengan apa yang dipapar di laman sesawang. Kualiti beg juga tidak memuaskan. Beg tersebut terdapat kesan kemek (bukan disebabkan pos) dan jahitan yang tidak kemas. Isi tali beg juga kelihatan. Apabila saya menuntut hak saya, penjual tidak mengendahkan permintaan saya. Ada juga unsur-unsur penipuan kerana pihak tersebut mendakwa dia yang mengambil gambar beg itu sendiri, sedangkan beg yang saya terima lain bentuknya. Dalam terma dan syarat dia juga ada menyatakan tentang pengembalian wang penuh jika produk cacat. Tapi dia terus ingin menghilangkan diri”.

Demikian dua contoh aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang pembelian dalam talian. Walaupun terdapat kebaikan pembelian dalam talian seperti barang-barang yang dijual adalah murah disebabkan hanya melibatkan pengeluar dan pengguna sahaja. Namun begitu terdapat juga keburukannya seperti tiada penghantaran selepas menerima wang, barang berkualiti rendah atau cacat dan sebagainya.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu diketahui oleh pengguna sebelum melibatkan diri dalam pembelian dalam talian:

Sebelum membeli sesuatu barang, layari lebih daripada satu laman sesawang yang menawarkan barangan yang sama untuk membuat perbandingan harga;
Setiap pembelian barang perlu disertakan dengan invois daripada penjual;
Dapatkan data peribadi dan nombor telefon penjual;
Pembelian dalam talian memerlukan data peribadi pembeli seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun atau nombor kad kredit yang dianggap sulit. Pastikan laman sesawang yang dikunjungi diiktiraf dan memiliki sistem sekuriti yang baik;
Pastikan alamat laman sesawang berkenaan tertera `https://’ berbanding `http://.’ Ini kerana `https’ merupakan pangkalan data dan sistem sekuriti yang menjaga segala maklumat peribadi pengguna;
Simpan resit pembayaran;
Berhati-hati apabila membayar menggunakan kad kredit. Jangan dedahkan empat nombor kad kredit yang terakhir;
Faham terma dan syarat sebelum membuat transaksi.
Jadilah pengguna yang bijak, jangan kesal nanti.

 

Deivigarani Krishna
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)