Kebanyakan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) yang berkaitan dengan urusan pembelian dalam talian, walaupun berunsurkan penipuan dan perkhidmatan yang tidak memuaskan, namun secara jelas menunjukkan kecuaian daripada pihak pengguna sendiri.

Promosi, iklan yang menarik perhatian serta pemberian diskaun sudah mencukupi untuk melesapkan wang pengguna.


Analisis daripada aduan yang diterima itu menunjukkan pengguna kerap kali cepat terpedaya dan sering membuat keputusan dengan tergesa-gesa tanpa melakukan kajian yang rapi. Ramai pengguna yang tidak mengamalkan sikap berwaspada.

Boleh dikatakan hampir semua aduan menunjukkan pengguna tidak mencari komen-komen melalui laman web forum, tidak berusaha untuk mengumpul maklumat seperti nombor telefon ataupun alamat syarikat berkenaan, syarikat berdaftar atau tidak dan sebagainya.

Memang tidak dinafikan bahawa teknologi semakin canggih. Namun kita juga harus sedar bahawa penipuan pun semakin meningkat dan taktik penipuan pun semakin berbeza. Oleh yang demikian sebagai pengguna yang bijak dan lestari, kita harus memantapkan diri kita dengan maklumat yang berfaedah agar kita tidak boleh ditipu dengan sewenang-wenangya.

Matheevani Marathandan
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)
2 Jun 2010