Baru-baru ini berlaku kemalangan mengenai seorang wanita mengandung yang maut akibat masalah beg udara (air bag) pada keretanya. Wanita tersebut dipercayai telah meninggal akibat luka pada leher kesan daripada serpihan logam yang terdapat pada beg udara kenderaannya.  

Akibat daripada kejadian tersebut, syarikat pengeluar kereta tersebut telah memanggil balik kereta keluarannya di pasaran Malaysia.

Sebelum ini, masalah beg udara jenama tersebut telah dilaporkan oleh Pentadbiran Kselamatan Trafik  Lebuh Raya Kebangsaan (National Highway Traffic Safety Administration, NHTSA), yang merupakan sebuah agensi Amerika Syarikat, semenjak tahun 2013. Beg udara tersebut dipercayai mudah pecah dan serpihan logam daripada beg udara tersebut boleh melukakan bahagian leher pengguna. 

Kemalangan maut yang berlaku ini secara tidak langsung mungkin boleh membuka

mata banyak pihak, terutama pihak berkuasa di Malaysia mengenai tahap keselamatan dalam sektor kenderaan. Kemalangan ini boleh menyebabkan kepercayaan pihak pengguna terhadap pengeluar kereta yang berkenaan semakin pudar. 

Namun begitu, sekarang bukan masanya untuk saling menuding jari semata-mata untuk menutup kesalahan masing-masing. Pihak berkuasa dan pengeluar kereta hendaklah mengkaji kes kemalangan ini dengan lebih terperinci supaya pisang tidak akan berbuah dua kali. 

Mungkin masih terdapat pengguna yang belum mengetahui tentang panggilan balik produk. Panggilan balik produk ialah proses menarik balik produk daripada pasaran jika produk tersebut mempunyai risiko yang boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan pengguna. 

Panggilan balik produk amat berguna bagi mengelakkan kejadian seperti yang berlaku ini daripada berulang kembali. Sebagai contoh, bagi kes beg udara ini, jika pihak berkuasa yang bertanggungjawab saling berkomunikasi berdasarkan laporan NHTSA, dan prosedur penarikan balik itu sendiri aktif digunakan di Malaysia, maka tahap keselamatan pengguna kenderaan akan lebih terjamin. Pihak berkuasa boleh terus menghubungi pihak pengedar kereta untuk mengenal pasti tahap keselamatan beg udara mereka. 

Namun, keadaan ini tidak berlaku sehingga menyebabkan keselamatan pengguna kereta berkenaan diperjudikan di atas jalan raya. Hanya apabila kemalangan berlaku, barulah disedari bahawa beg udara tidak berfungsi. Keadaan ini seperti "Sudah terantuk, baru nak tengadah?

Panggilan balik produk sangat penting bagi semua pihak. Pihak pengeluar mungkin berasa peraturan ini merugikan mereka. Namun begitu, panggilan balik produk ini boleh menambahkan lagi keyakinan pengguna kepada kereta keluarannya. Pengeluar dianggap sebagai sentiasa peka terhadap keselamtan pengguna dan sentiasa membuat  penambahbaikan terhadap produk mereka. 

Dalam rantaian bekalan, pengguna merupakan peringkat yang paling akhir. Jika masalah telah timbul di peringkat pengeluaran, maka penggunalah yang bakal menerima padahnya. Semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani isu panggilan balik produk demi menjaminkan keselamatan pengguna.

 

 



Nur Asyikin Aminuddin
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia