Kualiti sesuatu produk dan perkhidmatan adalah penting kepada pengguna kerana mereka membayar untuk produk dan perkhidmatan yang baik. Berdasarkan data aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), kes kualiti produk dan perkhidmatan merupakan salah satu kategori yang paling banyak diterima. Ini menunjukkan masalah kualiti produk dan perkhidmatan adalah serius.

Kebanyakan aduan yang berkaitan dengan kualiti produk adalah kualiti produk tidak sama dengan apa yang dilihat sebelum membeli. Sampel yang ditunjukkan adalah kualiti yang baik, tetapi apabila dihantar ke rumah, barangan tersebut mempunyai kualiti yang tidak baik iaitu mudah rosak atau ada kecacatan.

Apabila ini berlaku, pengguna tersebut akan meminta supaya digantikan dengan produk yang baru dan kualiti yang sama, tetapi tidak dilayan oleh syarikat berkenaan, atau jika gantian diberikan,  kualiti produk masih sama. Oleh seba itu, kebanyakan pengguna akan meminta supaya dikembalikan wang mereka.

Selain itu, banyak produk yang dijual tidak mempunyai pengesahan standard kualiti atau keselamatan daripada pihak-pihak yang berkaitan. Ini menyebabkan produk itu tidak berfungsi sebagaimana yang dijanjikan, malah ada yang memberi kesan yang negatif pula. Sesetengah produk elektrik yang tidak selamat pula akan menyebabkan letupan dan litar elektrik rumah terputus.

Aduan yang berkaitan dengan kualiti perkhidmatan adalah pekerja tidak memberikan perkhidmatan dengan baik. Semasa pengguna mahu membeli sesuatu produk, pengguna dilayan dengan baik oleh pekerja, tetapi apabila produk tersebut mempunyai masalah, maka pekerja tidak mengaku tentang janji-janji manis yang diberikan. 

Selain itu, pekerja juga tidak menjalankan tugas mereka dengan baik. Mereka tidak membaiki produk yang dihantar untuk dibaiki dengan baik, malah mengenakan caj pembaikan yang tinggi. Kerosakan yang sama masih berlaku, walaupun telah beberapa kali dihantar ke tempat yang sama, Sesetengah pekerja juga mungkir janji apabila membuat tawaran sesuatu pakej. Apabila janji itu gagal ditunaikan, mereka enggan memulangkan deposit pengguna.

Kualiti produk dan perkhidmatan yang tidak baik akan menjejaskan kesihatan dan keselamatan pengguna. Para pengguna dinasihatkan supaya membeli produk yang mempunyai label keselamatan daripada pihak yang berkaitan untuk keselamatan produk tersebut.

Chan Lit  Ween 
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)