Bateri dan magnet merupakan satu alat yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Bateri boleh wujud dalam pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan.

Antara kegunaan yang paling lazim ditemui adalah dalam barangan pengguna. Tetapi jika bateri dan magnet tidak digunakan dengan betul dan tidak dijaga dengan baik, ia boleh membawa kemudaratan terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak kecil.

Saiz bateri dan magnet yang kecil ini biasanya boleh dijumpai pada alat mainan kanak-kanak.

Isu Keselamatan:
Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Toby Litivitz dari National Capital Poison Center, mendapati bahawa kecederaan yang disebabkan oleh bateri telah meningkat sebanyak 7 kali ganda semenjak tahun 1985. Majoriti kes yang dilaporkan adalah bateri yang berbentuk ‘butang’ yang berukuran diameter 20mm, dan bateri 3 volt.

Kanak-kanak dan bayi mempunyai satu sifat yang lazim iaitu memasukkan apa-apa alat ke dalam mulut. Selain itu, mereka juga mempunyai kecenderungan untuk mengunyah alat tersebut apabila bermain. Ini kerana mereka mudah tertarik dan tidak mempunyai kematangan untuk berfikir tentang baik buruknya. Menurut pakar trauma dari The Montreal Children's Hospital, bateri yang berbentuk butang ini akan kelihatan seperti gula-gula kepada kanak-kanak kecil. Oleh sebab itulah terdapat ramai kanak-kanak yang menjadi mangsa apabila tertelan bateri-bateri seperti ini.

Apabila kanak-kanak ini menelan bateri, ia akan memasuki sistem pencernaan kanak-kanak. Bateri yang tersangkut pada tekak atau usus boleh mengeluarkan hidroksida yang boleh menyebabkan lecuran pada bahagian tersebut.

 

 

 

 

Selain bateri, satu lagi benda yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak adalah apabila mereka menelan magnet. Magnet-magnet kecil boleh dijumpai pada alat-alat mainan kanak-kanak. Perkara yang lebih membimbangkan atau serius adalah apabila seorang kanak-kanak menelan lebih dari satu magnet. Usus dalam badan akan mula tertarik antara satu sama lain disebabkan oleh sifat magnet tersebut. Oleh itu, usus ini juga akan berpintal dan berbelit. Ini boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

 

Kadang-kala terdapat situasi yang seseorang penjaga atau ibu bapa yang tidak tahu bahawa kanak-kanak mereka telah tertelan bateri atau magnet. Apabila kanak-kanak menunjukkan simptom-simptom seperti demam, muntah dan cirit-birit dan dibawa ke hospital, baru masalah ini dapat dikesan. Dalam kebanyakan kes, mereka tidak dapat diselamatkan kerana terlalu lambat tindakan diambil. Menurut Journal of Pediatric Surgery, Volume 42 Issue 12,2007 pula, terdapat pula kes-kes yang doktor tidak dapat mengesan atau diagnosis untuk mengetahui masalah ini sehingga menyebabkan komplikasi yang lebih teruk. Menurut Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna Amerika Syarikat (US CPSC), dalam satu kajian menunjukkan bahawa lebih daripada 60 % kes yang diterima pada mulanya telah dirawat dengan tidak tepat disebabkan oleh komplikasi yang telah menyukarkan doktor untuk mengesan punca masalah kanak-kanak tersebut. Terdapat pula kes-kes kanak-kanak dan bayi tidak menunjukkan sebarang simpton dan meninggal dunia .

Kepentingan Standard:
Dokumen standard memainkan satu peranan penting dalam memastikan sesuatu barangan dan perkhidmatan adalah selamat kepada pengguna.
Dokumen standard MS ISO 8124-1: 2001 Safety of Toys: Part 1: Safety Aspects Related to Mechanical and Physical Properties yang telah dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia, telah menyenaraikan ciri-ciri dan keperluan keselamatan yang penting bagi alat mainan yang menggunakan magnet bagi memastikan alat mainan ini adalah selamat.
Terdapat satu lagi standard iaitu standard MS 1774:Part 6 : 1998 Safety of Toys- Part 6: Graphical Symbol for Age Warning Labelling. Standard ini menerangkan cara meletakkan label pada alat mainan kanak kanak mengikut kesesuaian umur. Standard ini boleh membantu industri dalam memastikan alat mainan yang dihasilkan adalah selamat untuk kesesuaian umur kanak-kanak dan mematuhi standard keselamatan yang lain.

Nasihat kepada pengguna:
Berikut adalah beberapa tip untuk mengelakkan kecederaan yang melibatkan bateri dan magnet:

Jangan menyimpan bateri di merata-rata tempat. Setelah digunakan, bateri haruslah dibuang ke dalam tong pembuangan khas seperti tong kitar semula, dan bukannya di dalam tong sampah di rumah.
Jangan membenarkan kanak-kanak membuka tempat meletak bateri dan sentiasa mengawasi anak anda daripada mencapai alat-alat yang menggunakan bateri yang mudah dibuka.
Sebelum membeli sesuatu alat mainan, pastikan anda membaca label untuk memastikan alat mainan yang mempunyai magnet-magnet kecil adalah sesuai mengikut umur anak-anak anda.
Jika boleh, elakkan dari membeli alat mainan yang mempunyai bateri atau magnet yang mudah tertanggal.
Mohana Priya
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia
31 Mac 2011