Akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa Persatuan Pedagang Makanan dan Alat Mainan Malaysia (Malaysia Foodstuff and Toys Merchants’ Association) meminta kerajaan bahawa menangguhkan lagi tarikh penguatkuasaan standard alat mainan yang bermula pada 1 Februari 2011. Sekiranya permintaan ini diterima, ini merupakan satu amaran kepada pengguna pada isu keselamatan.

Masih terdapat banyak alat mainan yang dijual di pasaran masih belum mempunyai label Pematuhan Malaysia (Malaysian Conformity, MC). Tarikh penguatkuasaan telah ditangguh dari tahun 2010 kepada 2011. Alasan yang diberikan bagi penangguhan ini adalah sama, iaitu masih banyak stok alat mainan yang ada di pasaran.

Apa yang membimbangkan ialah alat mainan stok lama ini mungkin tidak mematuhi garis panduan standard keselamatan. Oleh itu, ia boleh membahayakan pada kanak-kanak. Jika stok lama ini masih dijual di pasaran, apakah jaminan terhadap keselamatan kanak-kanak?

Tidak sewajarnya alat mainan yang tidak berlabel dengan MC ini terus dijual kepada pengguna, kerana kualiti dan keselamatannya tidak dapat dipastikan. Jika berlaku sebarang kecederaan kanak-kanak akibat daripada alat mainan ini, siapa akan menanggung kosnya? Siapakah yang akan bertanggungjawab pada kemalangan itu?

Sekiranya penangguhan ini berterusan, tidak ada makna pendidikan yang diberikan kepada pengguna agar memilih alat mainan yang bertanda MC. Pengguna akan bertanya apakah alat mainan yang perlu saya pilih? Kenapa alat mainan tanpa label MC masih dijual di pasaran?

Kerajaan telah menyatakan bahawa mereka tidak akan berkompromi lagi mengenai perkara ini kerana telah memberi masa lebih satu tahun untuk membolehkan pengilang dan pengimport mematuhi standard keselamatan mainan kanak-kanak, dengan meletakkan label MC di setiap alat permainan tersebut (Utusan Malaysia, 20 Disember 2010).

Pengeluar dan pengimport alat mainan perlu mematuhi arahan yang telah dibuat oleh kerajaan tentang pelaksanaan standard alat mainan ini. Mereka tidak sepatutnya meminta supaya penguatkuasaan akta ini ditangguhkan. Terdapat cara alternatif yang boleh dilakukan oleh pengilang dan pengimport terhadap stok lama alat mainan ini, iaitu dengan mengitarnya semula. Ia bukan bermaksud alat mainan itu dikitar untuk kegunaan semula, tetapi dikitar semula di kilang untuk menghasilkan produk yang lain.

Jabatan Standard Malaysia telah membangunkan standard khusus untuk alat mainan, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pula telah menguatkuasakan standard mandatori bagi alat mainan. Pengguna telah lama menunggu untuk mendapatkan penguatkuasaan terhadap standard itu. Oleh itu, janganlah mengecewakan pengguna sekali lagi.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia