Kumpulan pembela pengguna di Beijing, China telah melakukan pemeriksaan terhadap produk penjagaan rambut yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat di Zhejiang. Tindakan ini dilakukan selepas produk syarikat ini di Singapura dan Hong Kong didapati mengandungi bahan kimia yang dilarang.

Pihak berkuasa Zhejiang memeriksa produk keluaran syarikat Zhangguang 101. Minoxidil telah dijumpai dalam sesetengah produk Zhangguang yang dipasarkan di Singapura dan Hong Kong. Minoxidil merupakan bahan yang dilarangkan penggunaan dalam kosmetik.

Minoxidil pada asasnya digunakan untuk merawat penyakit tekanan darah tinggi. Kajian klinikal mendapati bahawa bahan ini boleh merangsangkan pertumbuhan rambut dan melambatkan proses kebotakan. Namun, ia juga mengakibatkan kesan sampingan yang serius, termasuk kesakitan pada dada, kepeningan, menambah degupan jantung dan reaksi alergi yang teruk.

Oleh itu, minoxidil hanya boleh digunakan di bawah pengawasan doktor ataupun dijual oleh ahli farmasi untuk rawatan masalah keguguran rambut. Ia tidak dibenarkan untuk digunakan dalam produk atau dijual di salon atau pusat kecantikan.

Dalam konteks Malaysia, di bawah Garis Panduan untuk Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia, minoxidil merupakan bahan yang tidak dibenarkan sebagai sebahagian daripada komposisi dalam produk kosmetik.

Semua produk yang disyaki mengandungi minoxidil telah ditarik balik daripada pasaran Singapura dan Hong Kong. Tetapi, tiada produk di China ditemui mengandungi minoxidil. Selain itu, tiada drnstsmh data daripada Malaysia tentang produk ini.

Zhanguang 101 menyatakan bahawa pemeriksaan ini merupakan satu kaedah biasa yang perlu dijalankan untuk produk kosmetik. Mereka juga mengatakan bahawa produk yang tercemar itu merupakan produk yang dieksport sahaja.

Dalam kenyataan medianya di negara China, Syarikat menyatakan bahawa cecair alkohol yang mengandungi minoxidil telah dicampur dengan cecair alkohol yang biasa. Mereka tidak mencampurkan minoxidil dalam pemprosesan produk mereka.

Namun, pada bulan Mac tahun 2010, produk krim rambut daripada syarikat Zhangguang 101 yang dijual di Guangzhou, didapati mengandungi bahan toksik penyebab kanser – lentine.

Penguatkuasa daripada Guangzhou, Go Yuhua menyatakan bahawa jika bahan kimia ini meresap ke dalam kulit, ia akan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati. Kesan sampingan lain adalah kegatalan kulit, kebengkakan dan tanda keguguran rambut bagi sesetengah orang.

Di Singapura, Health Science Authority telah menasihatkan rakyatnya supaya berhenti menggunakan produk yang telah dicemari dengan minoxidil, sebagaimana yang telah ditemui dalam produk keluaran Zhangguang 101.

Dua produk lain yang dikenal pasti adalah formulasi pertumbuhan rambut D-2653-B dan tonik pertumbuhan rambut E-0583-D.

Di Malaysia, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dengan produk keluaran syarikat Zhangguang 101 dan dua produk yang tersenarai di atas. Sekiranya terdapat sebarang jenama atau gejala penyakit yang dinyatakan, laporkan segera kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia