Syarikat pengeluar kenderaan Mazda telah menarik balik model Mazda 3 dan Mazda 5 di seluruh dunia.

Menurut Tamara Mlynarczky, wakil daripada syarikat Mazda, kereta Mazda ditarik balik akibat masalah pada stereng berkuasanya (power steering). Sebanyak 500,000 buah kereta Mazda di seluruh dunia telah mengalami masalah stereng ini.

Penarikan balik ini melibatkan 215,000 unit kereta Mazda keluaran 2007 – 2009 di Amerika Syarikat. Selain itu, ia juga melibatkan kereta Mazda di Asia dan Eropah.

Agensi Keselamatan Persekutuan Amerika Syarikat menyatakan bahawa kehilangan kuasa bantuan pada stereng berkuasa akan mengurangkan keupayaan untuk mengawal kenderaan dalam keadaan biasa. Selain itu ia akan meningkatkan risiko kemalangan.

Walau bagaimanapun, Mazda percaya kehilangan kuasa pada stereng berkuasa ini tidak akan mengakibatkan sebarang kemalangan, tetapi mereka bersedia untuk menarik balik kenderaan yang terjejas dengan masalah ini.

Mazda telah mengenal pasti dan menyelesaikan masalah yang sama di Jepun setahun yang lalu. Oleh kerana kadar kejadian yang rendah di Amerika Syarikat, maka Mazda hanya mengeluarkan notis perkhidmatan teknikal kepada pengedar di Amerika Syarikat untuk menyelesaikan masalah ini.

Mazda menyatakan bahawa masalah pada stereng ini berpunca daripada karat yang terbentuk dalam paip tekanan tinggi dalam sistem stereng berkuasa. Partikel ini akan masuk ke dalam pam stereng berkuasa dan menyebabkan ia terhenti untuk mengelakkan kepanasan yang berlebihan.

Pemilik kereta Mazda 3 dan Mazda 5 di Malaysia dinasihatkan supaya menghantar kereta mereka ke bengkel untuk pemeriksaan pada sistem stereng berkuasa sekiranya mereka meragui status keselamatan kereta mereka. Hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna di talian 03-7877 9000 jika anda menghadapi masalah seperti yang dinyatakan di atas.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia