Satu kajian yang dilakukan oleh Majlis Pengguna Hong Kong menemui bahan kimia bertoksik dan agen penyebab kanser dalam pengilat kuku. Methanol dan benzena telah ditemui dalam pengilat kuku, yang dalam jenama tertentu, kandungan methanol adalah 20 kali lebih tinggi daripada tahap selamat.

Kajian ini meliputi 42 jenama pengilat kuku yang berharga antara RM2.50 hingga RM90. Bahan yang diuji termasuk logam berat – plumbum, merkuri dan arsenik, phthalates dan kompaun organik.

Semua jenama mempunyai kandungan logam berat yang mematuhi tahap yang ditetapkan dalam Standard Kebersihan Untuk Kosmetic (Mainland’s Hygienic Standard for Cosmetic).

Benzena, sejenis agen penyebab kanser, yang sememangnya tidak sepatutnya digunakan dalam kosmetik, telah didapati dalam 4 jenama dengan kepekatan dari 9.7ppm hingga 260ppm. Penemuan ini juga mendapati bahawa 4 jenama mengandungi 41,000ppm methanol, iaitu 20 kali lebih tinggi daripada tahap selamat yang ditetapkan dalam standard.

Benzena apabila meresap masuk ke dalam tubuh manusia akan mengakibatkan kematian. Pada kepekatan yang rendah, benzena akan menyebabkan kepeningan, dengupan jantung yang tinggi, sakit kepala dan pengsan.

DEHP, sejenis phthalates yang dilarang penggunaannya merupakan bahan asas dalam penghasilam kosmetik di China dan Kesatuan Eropah, turut ditemui dalam kepekatan setinggi 10ppm dalam jenama yang diuji.

Kajian pada haiwan menunjukkan bahawa pendedahan phthalates pada kepekatan yang tinggi akan mengakibatkan kesan endokrin dan kecacatan kelahiran.

Satu sampel yang diuji mengandungi 27% toluene, yang melebihi had 25% yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah. Toluene yang digunakan dalam produk pengilat kuku akan memberi kesan buruk kepada sistem saraf dan merengsakan salur penafasan.

0.03% methyl methacrylate (MMA) dijumpai dalam satu sampel yang diuji. Oleh sebab kesan alahan yang serius, MMA telah dilarang oleh Health Canada untuk digunakan dalam pengilat kuku.

Berikut adalah jenama pengilat kuku yang telah dikenal pasti mengandungi bahan kimia yang bahaya:

1. SKIN FOOD Jojoba Pure Nail PK004 (benzene 9.7 ppm, toluene 14%)
2. SKIN FOOD Milk Creamy Nail Base Coat (benzene 11 ppm, toluene 17%)
3. BNC manicure vitamin Super Nail Hardener (benzene 260 ppm and methanol 41,000 ppm)
4. Volili 846 (benzene 30 ppm, methanol 62.3 ppm, DEHP 10 ppm and MMA 0.03%)
5. Flower Nail Polish (methanol 80.5 ppm and toluene 27%)

Pengguna dinasihatkan supaya memeriksa produk pengilat kuku yang sedia ada. Jika produk berjenama seperti yang dinyatakan di atas atau mengalami kesan sampingan apabila menggunakan pengilat kuku, maka laporkan kepada pihak berkuasa Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di talian 03-7883 5400 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di talian 03-7877 9000.

 


Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia