Pengeluar dan pengedar alat mainan dikehendaki meletakkan tanda pematuhan standard keselamatan alat mainan yang diluluskan oleh kerajaan mulai 1 Ogos 2010. Tanda pematuhan tersebut bagi menunjukkan bahawa alat mainan itu telah diuji tahap keselamatannya dan selamat untuk dimain oleh kanak-kanak.

Logo yang berwarna hitam putih ini atau MC (Malaysian Conformity) dengan nombor siri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mesti diletakkan pada setiap alat mainan yang hendak dijual.

Ini membuktikan bahawa alat mainan ini telah diuji untuk keselamatannya oleh makmal yang diiktiraf oleh International Laboratory Accre ditation Cooperation atau Asia Pacific Laboratory Corporation.

Di bawah peraturan baru standard keselamatan bagi alat mainan, sebagaimana yang telah diwartakan dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999, industri alat mainan (pengimpot, pembuat tempatan dan pembungkus) perlu membekalkan sijil untuk produk mereka apabila memohon tanda MC daripada kementerian.

Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Mahani Tan Abdullah memberitahu bahawa semua industri mesti memperolehi tanda pematuhan dahulu sebelum mengimport, mengeluarkan atau membungkus sebarang alat mainan di Malaysia.

Alat mainan yang sedia ada di pasaran masih boleh memohon untuk tanda MC. Ini melibatkan 3.9 juta alat mainan yang ada di pasaran.

Alat mainan yang telah dijual di pasaran tetapi masih belum mempunyai tanda MC dibenarkan terus dijual sehingga 31 Januari 2011 bagi membolehkan alat mainan itu habis jual. Mulai 1 Februari 2011, hanya alat mainan yang mempunyai tanda pematuhan standard keselamatan alat mainan sahaja dibenarkan dijual di pasaran.

Nombor siri pada tanda MC membolehkan KPDNKK mengambil tindakan pada setiap aduan yang diterima tentang alat mainan. Sebelum peraturan ini dilaksanakan, tiada sebarang tanda pada alat mainan yang membolehkan pengguna mengetahui sama ada alat mainan itu telah diluluskan oleh pihak berkuasa atau tidak.

Selepas penguatkuasaan peraturan ini, pengguna boleh merujuk kepada tanda MC sebagai simbol keselamatan sesuatu alat mainan. Alat mainan yang dipasarkan perlu dilabel dengan amaran atau maklumat dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia atau kedua-duanya. Bahasa lain juga dibenarkan.

Pengguna seharusnya berhati-hati semasa memilih dan membeli sebarang alat mainan di pasaran.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia