PUTRAJAYA 5 Mac - Kementerian Kesihatan meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mengurangkan jumlah perokok kepada 15 peratus menjelang 2025 sejajar dengan sasaran menjadikan negara bebas asap rokok.Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzul­kefly Ahmad berkata, pi­hak­nya menggiatkan usaha pe­mer­kasaan dan promosi kesiha­tan secara menyeluruh bagi mem­bantu golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat itu.Beliau berkata, usaha terbesar yang diambil ialah pewartaan semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 sebagai kawasan larangan merokok.

“Kementerian dengan kerja­sama rakan kongsi yang terdiri daripada universiti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta juga telah menganjurkan Perkhidmatan Ber­henti Merokok (mQuit).“Perkhidmatan itu diperluaskan bukan sahaja di fasiliti awam seperti klinik kesihatan malahan di fasiliti swasta termasuk farmasi komuniti, hospital dan klinik swasta melalui pemberian akreditasi mQuit oleh kementerian,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Promosi Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuit) sempena pe­war­taan tempat makan sebagai tempat larangan merokok di sini hari ini.Menurutnya, sehingga kini, go­longan perokok yang ingin menyertai mQuit boleh mendapatkan perkhidmatan itu di 731 klinik kesihatan, 46 hospital kerajaan dan 164 fasiliti swasta yang telah diberikan akreditasi.

“Sambutan terhadap perkhid­matan mQuit juga mendapat sambutan yang baik dan sehingga minggu kedua Februari lalu, seramai 143 orang ber­daftar untuk berhenti merokok. Saya berharap jumlah ini bertambah selepas ini,” katanya.Selain itu, katanya, selaras dengan peluasan tempat atau kawasan larangan merokok di negara ini, kementerian komited untuk memberi bantuan kepada semua perokok agar dapat berhenti merokok dan hidup secara lebih sihat.Dalam pada itu, katanya, melalui program mQuit, syarikat Johnson and Johnson Sdn. Bhd.menyumbang 100,000 papan tanda larangan merokok yang mempunyai paparan nombor talian infoline berhenti merokok dan di laman sesawang jomquit.moh.gov.my.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sasar-kurangkan-jumlah-perokok-2025-1.854425#ixzz5hRsxhhVb
© Utusan Melayu (M) Bhd