KUALA LUMPUR: Pengenalan cukai gula untuk menangani masalah kegemukan dan diabetes dalam kalangan rakyat selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata WHO mencadangkan strategi cukai diperkenalkan sebagai langkah berkesan bagi mengurangkan pengambilan gula dan masalah obesiti dalam kalangan rakyat.“Tindakan ini (cukai gula) dapat mendidik masyarakat secara berhemah untuk memilih minuman lebih sihat dan murah.“Kita akan mengambil kira kesesuaian sumber pengganti berkenaan dengan kesihatan pengguna dan mengambil kira kebajikan peruncit,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat hari ini, mengenai kesan cukai itu kepada ekonomi dan kesihatan.

Dr Dzulkefly juga berkata, Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan pihak lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mencadangkan alternatif kepada gula.Kerajaan dijangka mengenakan cukai gula bermula Julai ini yang kutipannya antara lain akan digunakan untuk menyediakan sarapan percuma dan sihat kepada pelajar.Terdahulu Nurul Izzah dalam soalan tambahannya mengemukakan kajian pihak tertentu yang mengaitkan majoriti pengguna gula ialah golongan bawahan dan memerlukan sumber alternatif sebagai pengganti.Terdahulu dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), Dr Dzulkefly berkata, sejajar perkembangan dalam sektor teknologi perubatan, kementeriannya sedang melaksanakan kaedah rekod maklumat secara digital atau elektronik di hospital dan klinik kesihatan kerajaan seperti dilaksanakan negara jiran.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH -AMANAH-Tampin).Katanya, sehingga ini, sebanyak 25 peratus daripada 145 hospital kerajaan memiliki sistem teknologi maklumat bagi tujuan perawatan pesakit termasuk Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).“Kementerian Kesihatan sedang merancang untuk melaksanakan peluasan EMR secara strategik di hospital serta klinik kerajaan seluruh negara secara berperingkat,” katanya.