05 Februari 2022
SHAH ALAM – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong usaha kerajaan melaksanakan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game.

Penyelaras Kawalan Tembakau FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, ia bagi melindungi golongan kanak-kanak dan remaja yang akan menjadi generasi akan datang kerana tembakau atau vape mengandungi nikotin.

“Nikotin memberi kesan yang besar kepada perkembangan otak kanak-kanak dan remaja. Pada peringkat pertumbuhan otak mereka, pengambilan atau penggunaan nikotin akan merencatkan otak dan akal mereka.

“Dari segi kesihatan, kita tidak boleh berkompromi dengan pendedahan tabiat merokok atau sebarang bentuk alat merokok oleh kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Muhammad Shaani berpendapat, pengenalan rokok elektronik atau vape juga menyasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja dan amat wajar kerajaan melaksanakan akta baharu itu.

“Dengan akta baharu ini akan memberi lebih kuasa kepada kementerian untuk melaksanakan langkah-langkah yang menyeluruh untuk mengawal tabiat merokok,” tegasnya.


Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/186306/BERITA/Nasional/Rokok-beri-kesan-perkembangan-otak-kanak-kanak-remaja