ISB Healthcare Management programme: Readying working professionals for the  healthcare industry - Times of IndiaPutrajaya: Skim Perubatan MADANI akan diperluaskan ke 11 daerah lain bermula minggu kedua bulan ini bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat kemudahan kesihatan, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Ia terdiri daripada Kota Setar dan Kuala Muda, Kedah serta Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Terengganu akan bermula pada minggu kedua, manakala Seremban, Negeri Sembilan; Kota Bharu, Pasir Mas (Kelantan); Kuantan (Pahang); Melaka Tengah (Melaka), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis bermula pada minggu keempat Ogos.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata klinik perubatan swasta umum (GP) di daerah terlibat dialu-alukan untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan MADANI dengan melayari laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525.

Skim Perubatan MADANI bermula pada 15 Jun lepas di 10 daerah iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling, Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru, Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).



Dr Zaliha berkata Skim Perubatan MADANI ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah untuk meringankan beban kewangan rakyat dengan menampung kos rawatan kes-kes akut, dan antara perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan di klinik perubatan swasta umum.

Menurutnya sehingga kini lebih dari 700 GP berdaftar sebagai klinik panel di bawah Skim Perubatan MADANI.

Dr Zaliha berkata skim itu dijangka dapat memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

"Peruntukan bagi setiap isi rumah untuk separuh tahun kedua adalah sehingga RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.

"Bagi memastikan akses yang mudah dan cepat, mereka yang layak hanya perlu membawa MyKad ke klinik panel Skim Perubatan MADANI untuk menerima rawatan akut percuma," katanya.