Kementerian Kesihatan Malaysia sedang merangka untuk mewujudkan sebuah skim kesihatan yang menggabungkan pengurusan perkhidmatan kesihatan kerajaan dan swasta yang dikenali sebagai Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care.

Apabila skim ini dilaksanakan setiap keluarga diwajibkan untuk memilih atau melantik doktor di klinik pilihan sebagai doktor keluarga.

Melalui sokongan daripada doktor keluarga tersebut, pesakit akan dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Pengguna mempunyai pilihan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau swasta pilihan mereka tanpa mengambil kira status sosial dan kedudukan kewangan mereka.

Bagi membiayai skim ini, kerajaan akan menubuhkan sebuah dana kesihatan nasional melalui peruntukan kerajaan hampir 90 peratus, sementara selebihnya berdasarkan sumbangan gl0ongan yang berkemampuan menerusi bayaran bulanan (premium insurans), potongan cukai atau kaedah lain yang akan ditetapkan. Sebuah badan khas akan ditubuhkan untuk mengendalikan dana ini. Pesakit mungkin akan dikenakan bayaran tertentu apabila mendapatkan rawatan.

Pelaksanaan skim ini amat wajar sekali memandangkan pada masa ini wujudnya jurang bagi pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan khususnya di hospital swasta. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana sukar untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana caj rawatan yang tinggi, walaupun penyakit yang dihadapi mungkin dapat disembuhkan kerana hospital tersebut mempunyai kepakaran dalam merawat penyakit tersebut.

Namun begitu, kerajaan perlu memperincikan tentang skim ini agar pengguna memahami keseluruhan konsep skim ini. Begitu juga pelaksanaan ini perlulah telus agar ia dapat mencapai matlamatnya. Lebih penting lagi, pengurusan dana ini diuruskan oleh sebuah badan yang tidak berunsurkan keuntungan, sebagaimana kewujudan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Skim yang dikatakan berdasarkan kepada model Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di United Kingdom itu perlu menjurus kepada tanggungjawab sosial bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai tahap kesihatan yang baik. Perkhidmatan kesihatan merupakan kemudahan asas bagi pengguna. Setiap pengguna berhak untuk mendapatkan rawatan bagi merawat penyakit yang dihadapi tanpa mengira sama ada di hospital kerajaan atau swasta.


Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia