Kerajaan Malaysia akan tetap membenarkan uji lapangan nyamuk Aaedes aegypti trangenik di Bentong, Pahang dan Alor Gajak, Melaka walaupun timbul pertikaian tentang ketelusan uji kaji lapangan yang dijalankan di Pulau Cayman yang menjadi rujukan serta dijadikan sebahagian daripada asas keberkesanan teknologi kawalan biologi ini.

Kepulauan Cayman telahpun menjalankan uji kaji lapangan yang melibatkan pelepasan nyamuk transgenik ini dan tiada isu yang timbul disebabkan oleh pelepasan tersebut. Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (Colorado), Thailand, Brazil dan India juga terlibat dalam uji kaji kegunaan terkawal yang melibatkan nyamuk transgenik. Negara seperti Singapura dan Vietnam sedang menilai teknologi yang melibatkan nyamuk transgenik ini.

Pernyataan akhir dalam keputusan Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK) dilaporkan bahawa tiada isu tentang hasil pelepasan nyamuk transgenik hasil daripada kajian di Pulau Cayman. Laporan uji kaji yang hanya diumumkan pada bulan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan dari segi pematuhan tatacara perlaksanaan uji kaji di lapangan.

Begitu juga kenyataan bahawa negara-negara seperti Amerika Syarikat, Thailand, Brazil dan India juga terlibat dalam kajian ‘nyamuk trangenik’ adalah amat mengelirukan kerana kajian yang dirujuk tidak berkaitan dengan serangga vektor penyakit manusia tetapi serangga perosak tanaman. Sudah tentu andaian risiko kepada umum adalah teramat beza untuk dijadikan asas keputusan uji kaji melibatkan nyamuk aedes.

Perlu juga diingat bahawa Negara India telah menolak penggunaan tanaman terung trangenik daripada digunakan di India.

Demikian juga dengan Singapura dan Vietnam sedang menilai teknologi nyamuk trangenik juga tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk keputusan untuk membenarkan uji kaji lapangan.

WABAK DENGGI

Bilangan mangsa wabak denggi dalam negara seharusnya tidak dijadikan alasan untuk membelakangkan langkah-langkah keselamatan dari aspek prinsip pencegahan (precautionary principle). Terdapat juga negara-negara lain yang mengalami jangkitan serta kematian yang lebih tinggi akibat wabak denggi. Namun mereka tidak terdesak untuk mencuba teknologi trangenik yang belum terbukti keberkesanannya dan selamat.

Penggunaan nyamuk transgenik mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk merubah menjadi pembawa/vector penyakit yang lebih dahsyat (virulent) pada masa hadapan. Maka sebarang uji kaji yang boleh terdeah kepada kemungkinan demikian harus dielakkan sebelum mendapat bukti-bukti kukuh yang meyakinkan sebagai sebaliknya.

Kejadian penyakit denggi dilaporkan di Jinjang pada tahun 1972 dan nyamuk Aedes telahpun mengalami perubahan genetik yang kini menimbulkan cabaran kepada usaha kawalan dan pencegahan.

Maklumat teknologi transgenik adalah masih baru bagi masyarakat di Malaysia. Proses rundingan awam seharus mengambil tempoh masa yang lebih bersesuaian sebagai satu tindakan yang adil.

Perkembangan merujuk kepada tindakan syarikat yang sama juga membangunkan teknologi nyamuk transgenik di Pulau Cayman menggambarkan ketidaktelusan untuk mengelakkan bangkangan kepada uji kaji yang dicadangkan oleh mereka yang memahami risiko dan bahaya yang berkemungkinan berlaku berpunca daripada kegiatan ini.

Laporan-laporan media yang memetik kenyataan orang ramai di tapak-tapak cadangan uji kaji lapangan di Malaysia menyokong kekhuatiran tentang keikhlasan pihak yang mencadangkan uji kaji nyamuk trangenik serta ketegasan pihak berkuasa untuk memastikan keperluan dan syarat-syarat perlaksanaan dipatuhi dengan baik.

TANGGUNGAN INSTITUT PERUBATAN MALAYSIA (IMR)

Apakah tanggungan IMR jika dan bilamana timbul masalah berhubung uji kaji nyamuk trangenik yang dicadangkan ini?

IMR sebagai satu agensi awam yang menggunakan satu teknologi dalam pembangunan oleh suatu syarikat swasta seharusnya menjelaskan terma-terma dan syarat kerjasama ataupun perkongsian yang dijalin sekian lama.

KEMAMPANAN TEKNOLOGI

Oleh kerana kawalan biologi menggunakan nyamuk trangenik memerlukan pembiakan dan pelepasan populasi nyamuk yang berulang kali dalam persekitaran habitat terbuka akan memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan untuk tempoh waktu yang berterusan. Ini termasuk untuk mencari alternatf kepada kemunculan strain dan mutan yang kebal. Apakah ini merupakan suatu kawalan terhadap kecekapan kos di samping melihat risiko dan bahaya pencemaraan genetik ke atas sistem ekologi setempat.

 

MUHAMMAD SHA’ANI BIN ABDULLAH
Setiausaha Agung FOMCA