Rumah boleh menjadi satu perangkap kematian apabila dikaitkan dengan penyakit denggi. Menteri Kesihatan menyatakan bahawa penguatkuasa Kementerian Kesihatan menemui larva Aedes di kediaman mangsa yang meninggal akibat demam denggi. Lebih daripada 50% rumah mangsa ini menjadi tapak pembiakan nyamuk Aedes.

Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 30,350 kes denggi dilaporkan dengan 95 kes kematian telah direkodkan pada tahun ini berbanding dengan 28,659 kes denggi dengan 67 kes kematian pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.

Wabak denggi yang berleluasa ini memerlukan pendekatan proaktif yang serius dalam memeranginya. Adalah penting untuk menyedari bahawa rumah boleh menjadi tapak pembiakan nyamuk Aedes. Namun, kebanyakan rakyat tidak memandang kepentingan dalam menjaga kebersihan rumah.

Menteri Kesihatan juga menyatakan bahawa dalam tempoh satu minggu, 847 kes denggi telah dicatat dengan satu kes kematian dalam Wilayah Perseketuan. Penguatkuasa Kementerian Kesihatan akan berbincang dengan pakar denggi untuk menangani masalah ini.

Biarpun begitu, orang awam perlu bermula daripada rumah untuk menentang demam denggi.

Sesiapa sahaja yang digigit nyamuk yang membawa kuman virus denggi bakal menghadapi risiko yang lebih tinggi mendapat demam denggi. Demam denggi menyerupai demam selesema dan ciri-ciri klinikalnya berbeza-beza mengikut umur pesakit.

Bagi mencegah demam denggi, orang awam disaran supaya memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk Aedes akan membiak di tempat-tempat takungan air seperti tayar buruk dan bekas menyimpan air. Pasu bunga, bekas air dan sebarang bekas yang boleh menakung air perlu ditukar tiap-tiap hari untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

Kesimpulannya, perlindungan diri merupakan cara yang paling berkesan untuk menentang demam denggi. Jadi bertindak sekarang untuk melindungi kesihatan anda sendiri.

 

Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard