Amaran telah diberikan kepada orang awam untuk berwaspada kepada demam denggi semasa musim hujan. Keadaan dijangka bertambah teruk akibat fenomena La Nina yang sedang berlaku di rantau ini.

Menteri kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah menyatakan kebimbangan beliau bahawa, walaupun kes purata demam denggi telah menurun di seluruh Malaysia, tetapi kes kematian telah meningkat.

“Sehingga 4 Julai 2010, terdapat 24,240 kes dengan 81 kes kematian, berbanding dengan 25,234 kes pada tahun lalu yang hanya mencatat 62 kes kematian. Selangor mencatatkan kes demam denggi yang paling tinggi, yang mencecah 10,699 kes dengan 34 kes kematian,” kata beliau.

Di Sibu sahaja, peningkatan bilangan kes demam denggi mencapai 589% berbanding dengan tahun lalu.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia telah mengumumkan bahawa fenomena La Nina yang akan menyebabkan hujan lebat di Malaysia, sedang berkembang dan menjadi lebih kuat pada masa yang akan datang.

Kempen Menghapuskan Nyamuk Aedes telah dilancarkan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai pada minggu lalu bertujuan melibatkan aktiviti-aktiviti menghapuskan habitat nyamuk Aedes seperti aktiviti bergotong-royong untuk membersihkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kampung, kawasan perumahan dan juga kota-kota.

Kementerian juga akan meningkatkan aktiviti penyemburan ubat nyamuk di kawasan-kawasan yang mencatat kes demam denggi yang tinggi. Selain itu, bilik operasi kes demam denggi akan beroperasi pada setiap hujung minggu.

Dengan itu, sebagai seorang pengguna yang bertanggungjawab, periksalah sekeliling rumah anda untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan membuangkan air yang bertakung dan menyembur ubat nyamuk.

 

Foon Weng Lian
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia