FOMCA mengalu-alukan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican bahawa caj rawatan di hospital swasta akan dikaji semula bagi memastikan kadarnya tidak terlalu membebankan rakyat.

Umum sedia maklum bahawa caj hospital swasta memang agak tinggi sehingga hanya golongan berada dan mempunyai insurans kesihatan sahaja yang mampu menggunakan perkhidmatannya.


Kerajaan sepatutnya telah menyediakan garis panduan tentang caj yang sepatutnya dikenakan oleh hospital swasta. Langkah ini selaras dengan akta Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, di bawah peruntukan fasal 106 (1) di bawah Jadual Fi, yang menetapkan Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk menetapkan jadual fi bagi kemudahan atau perkhidmatan jagaan kesihatan swasta.

FOMCA berharap Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkah segera bagi menetapkan fi hospital swasta bagi membolehkan perkhidmatannya juga boleh dinikmati oleh rakyat biasa.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan merupakan keperluan asas bagi rakyat untuk memastikan kesihatan mereka terpelihara. Jika perkhidmatan untuk merawat sesuatu penyakit tidak terdapat di hospital kerajaan kerana kekurangan peralatan dan kepakaran, maka pengguna boleh mendapatkannya di hospital swasta yang ada khidmat rawatan dan kepakaran.

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN
8 Jun 2010