Boleh anda membuat tuntutan insurans sekiranya kereta anda yang di pakir dilanggar dan pemandunya melarikan diri?

Bayangkan anda memakir kereta di tempat letak kereta berbayar untuk membeli belah atau urusan lain. Setelah selesai urusan anda, anda bergegas balik ke kereta anda untuk pulang ke rumah atau beredar ke tempat lain. Bila anda sampai di tempat letak kereta, anda dapati kereta anda kemek di bahagian hadapan. Tindakan pertama adalah melihat kiri kanan untuk melihat sekiranya ada kereta yang turut kemek atau ada bekas kena langgar.

Sebelum anda memaki hamun pesalah tersebut, lihat di cermin kereta sekiranya orang yang melanggar kereta anda meninggalkan nombor telefonnya di atas kereta anda kerana tidak dapat menunggu di situ kerana ada urusan yang lebih penting yang perlu dihadiri. Sekiranya ada nombor telefon, cuba hubungi orang tersebut  dan mungkin anda boleh selesaikan tanpa melibatkan pihak polis.

Memang sungguh menyakitkan hati sekiranya kereta kita dilanggar oleh orang lain, apa lagi anda tidak mengetahui siapa yang melakukannya. Malang tidak berbau dan kemalangan boleh berlaku di mana-mana. Ada perlu bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut walaupun ianya dilakukan oleh orang lain. Di mana anda perlu mula? Bagaimanakah anda membuat tuntutan insurans kereta untuk kemalangan bukan berpunca dari kesalahan anda?  Ada 5 langkah yang harus dipatuhi.

Langkah pertama : Siapa yang melanggar kereta anda?

Anda perlu teliti sekiranya orang yang melanggar itu meninggalkan nombor telefon. Selain itu, perhatikan sekiranya ada kamera CCTV di kawasan tersebut. Ada kalanya ada insan yang Nampak kemalangan di situ dan mencatat nombor kenderaan yang melanggar kereta anda. Kalau tidak ada sebarang informasi, anda perlu menguruskannya dengan sendiri.

Langkah kedua : Apa yang anda boleh lakukan?

Sekiranya anda memiliki insurans komprehensif, anda boleh memfailkan No-Fault Own Damage claim (NFOC). Anda boleh membuat tuntutan daripada syarikat insurans sendiri. Anda tidak perlu bimbang akan kehilangan NCB (No Claims Bonus). Ianya tidak akan memberi kesan kepada bonus anda kerana kemalangan tersebut bukan kesalahan anda.

Langkah ketiga : Bincang dengan pegawai dari syarikat insurans anda

Anda mesti membuat laporan polis dalam 24 jam selepas kemalangan. Selepas itu, anda perlu melaporkan dengan syarikat insurans anda. Anda perlu mendapatkan maklumat dari syarikat insurans untuk menghantar kereta anda ke bengkel yang  diiktiraf sebagai pembaikpulih kereta yang sah sebagai panel oleh syarikat insurans tersebut. Kalau anda membaiki di bengkel yang tidak diiktiraf sebagai ahli panel syarikat insurans anda, syarikat insurans anda mungkin tidak akan menanggung kosnya. Sebelum anda keluar dari bengkel tersebut, anda harus memaklumkan syarikat insurans anda.

Sebelum anda menghantar kereta anda ke bengkel, anda perlu menyediakan dokumen -dokumen berikut untuk membuat tuntutan NFOC

  1. Borang tuntutan NFOC dari syarikat insurans anda
  2. Salinan asal laporan polis yang anda buat
  3. Salinan asal laporan siasatan polis
  4. Salinan kad pengenalan anda (pemilik)
  5. Salinan lesen memandu pemilik
  6. Kad pendaftaran kenderaan yang telah dikemaskini
  7. Resit pembayaran dari bengkel kereta
  8. Gambar kerosakan kereta di tempat kejadian (sekiranya ada)

Langkah keempat : Bagaimana anda boleh menilai kos baik pulih kereta anda?

Setiap bengkel kereta yang diiktiraf oleh syarikat insurans anda mempunyai penilai atau pelaras (adjuster) bebas yang berlesen. Dia memainkan peranan penting dalam mentafsir tahap kerosakan dan menilai kos baikpulih kereta anda. Tolong simpan dokumen tersebut setelah kereta anda telah dinilai oleh pelaras tersebut.Pelaras tersebut juga boleh memberi anggaran masa yang akan diambil untuk membaiki kereta anda. Istilah lain yang biasa digunakan adalah Compensation for the Actual Repair Time (CART). Kebiasaanya ianya mengambil masa lebih kurang seminggu atau dua untuk menyelesaikan tuntutan ini. Dalam pada itu,yang agak menrunsingkan adalah anda mungkin perlu membayar dahulu sebelum anda menuntut dari syarikat insurans anda.

 Langkah kelima : Jangan buang masa atau tunda dalam tindakan anda

Pada tahap ini, anda perlu proaktif. Kalau perlu, anda perlu menghubungi syarikat insurans anda untuk mengetahui prosedurnya dan dokumen  tambahan yang perlu ada untuk mempercepatkan urusan tuntutan. Lebih lama anda buang masa, lebih lama masa yang akan diambil untuk mendapatkan tuntutan anda. Anda juga perlu menghubungi bengkel kereta anda untuk mengetahui keadaan kereta anda.

Setiap kemalangan boleh diatasi walaupun ianya bukan kesalahan anda.Sama ada kita memakir kereta kita dengan berhati hati atau memandu dengan berhemah, kita tidak dapat mengelakkan kemalangan. Adalah lebih baik sekiranya kita melindungi diri kita sendiri kerana  seperti dalam peribahasa ‘ malang tak berbau’ dengan memiliki insurans kenderaan komprehensif.

 Sumber : Loanstreet