14 Mac 2023 07:43pm
SHAH ALAM- Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta kerajaan mempergiat program celik tenaga kepada pengguna agar dapat memainkan peranan menangani kesan perubahan iklim sekali gus dapat mengurangkan perbelanjaannya terutama melibatkan sektor isi rumah.

Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, pemerkasaan pengguna untuk celik tenaga penting bagi mengatasi isu perubahan iklim kini.

“Tinjauan Perubahan Iklim Belia Kebangsaan mendapati 92 peratus golongan muda Malaysia mengenal pasti perubahan iklim sebagai krisis dan sembilan daripada 10 belia sudah mengambil tindakan individu untuk menangani isu ini.

“Belia hari ini lebih berhubung dengan dunia global dan dengan itu telah membina kesedaran yang kukuh tentang isu berkaitan perubahan iklim dan kesannya terhadap ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.

“Malangnya, pemerkasaan pengguna melalui celik tenaga tidak diberi keutamaan oleh kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Marimuthu menambah, individu yang mempunyai kesedaran terhadap perkara tersebut mampu menggunakan sesebuah sumber tenaga dengan baik.

“Mereka tahu tahu berapa banyak tenaga yang digunakan, untuk apa dan dari mana tenaga itu datang dan mampu membuat keputusan berdasarkan kesan dan akibat.

“Paling penting di luar pemahaman, orang yang celik tenaga bertindak untuk mengurangkan jejak tenaganya dan komited untuk mempengaruhi masyarakat tentang cara praktikal untuk mengurangkan jejak tenaga mereka,” ujarnya.

Jelas beliau, mempunyai sikap celik tenaga dapat membantu ke arah penjimatan yang secara tidak langsung membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta mengurangkan bil tenaga isi rumah.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/249706/berita/nasional/fomca-minta-kerajaan-pergiat-program-celik-tenaga