KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 untuk Malaysia pada 4.4 peratus, disokong oleh pelbagai faktor domestik.

Firma penyelidikan itu menerusi nota penyelidikannya berkata, perbelanjaan pengguna kekal berdaya tahan walaupun prospek inflasi lebih tinggi dengan mengambil kira dasar monetari yang stabil.

Ini berdasarkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal pada 3.00 peratus pada 2024 dengan kadar pengangguran 3.4 peratus pada 2024 berbanding 3.5 peratus pada 2023, katanya.


Faktor lain termasuk pemulihan sektor pelancongan dan momentum pertumbuhan pelaburan yang positif kerana lonjakan dalam pelaburan sektor swasta yang diluluskan sejak 2021 telah diterjemahkan kepada peningkatan pelaburan swasta sebenar dan direalisasikan.

Kemajuan dalam projek-projek infrastruktur utama yang sedang berjalan dan pelancaran projek-projek baharu pada tahun 2024, seperti LRT Pulau Pinang dan projek KVLRT3 yang sedang dijalankan akan memberikan dorongan tambahan kepada ekonomi.Jangkaan pulihnya sektor teknologi tahun depan selepas kemerosotan tahun ini akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK, kata Maybank IB.

Dengan mengambil kira pertumbuhan KDNK sembilan bulan 2023 pada 3.9 peratus, firma penyelidikan itu berkata, ia telah mengurangkan sedikit pertumbuhan KDNK sebenar 2023 kepada 3.9 peratus daripada 4.0 peratus.