Amat melegakan sekali bagi seorang mahasiswa yang mendapat pembiayaan kerajaan atau swasta melalui biasiswa dan pinjaman apabila melanjutkan pengajian di institusi  pengajian tinggi (IPT) dan amat sukar pula bagi mereka yang tidak mendapat kemudahan itu bukan?

Mahasiswa yang tidak memperoleh sebarang pembiayaan atau pembiayaan tidak mencukupi, ada yang terpaksa bekerja sambilan bagi menampung keperluan ketika di kampus bagi memastikan kelangsungan hidup dan meneruskan pengajian mereka. Ramai yang melakukan kerja sambilan seperti membaiki motosikal, membaiki komputer, bekerja sambilan di restoran makanan segera atau berniaga di pasar malam.

Walaupun pendapatan yang diraih mereka tidak sebesar mana, namun ia sedikit sebanyak dapat digunakan untuk menampung kos sara hidup mereka. Senario pelajar membuat kerja sambilan ini bukan perkara baru dan tidak menjadikan pelajar berkenaan mengabaikan pengajian mereka asal saja pandai membahagikan masa.

Tidak semua pelajar yang buat kerja sambilan itu tidak mendapat pinjaman, tetapi mungkin atas sebab ingin mencari duit tambahan untuk membeli barang keperluan seperti telefon pintar, komputer riba atau pakaian berjenama. Pelajar di IPTA atau IPTS seharusnya menimbangkan dan tidak boleh dihalang untuk membuat kerja sampingan asalkan pekerjaan itu tidak menjejaskan nama institusi pengajian serta tidak menganggu prestasi pembelajaran mereka.

Tidak menjadi kesalahan untuk pelajar mencari duit tambahan dan biasanya pelajar turut digalakkan membuat kerja sambilan pada musim cuti semester untuk mengisi masa terluang itu daripada dibazirkan dengan kegiatan yang tidak berfaedah. Kos sara hidup yang tinggi di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru tidak memberi banyak pilihan kepada pelajar yang tidak mendapat pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), MARA atau lain-lain biasiswa membuatkan mereka perlu membuat kerja sambilan.

Kebanyakan IPTA dan IPTS ini berada di bandar-bandar maju dan ini memberikan tekanan dari aspek kos sara hidup kepada pelajar itu sendiri. Mereka yang memperoleh pinjaman pengajian PTPTN atau MARA juga tidak terlepas daripada mengalami kekangan perbelanjaan, apatah lagi bagi pelajar yang langsung tidak mendapat dana seperti ini. Justeru, langkah untuk melakukan kerja sampingan amat praktikal dan membantu mereka untuk menampung kos pengajian.

Dengan melakukan demikian, mereka boleh memaksimakan lagi penggunaan dana pinjaman yang disediakan PTPTN untuk perkara-perkara penting bagi membantu pengajian seperti membeli buku rujukan. Jumlah pinjaman diberikan PTPTN biasanya adalah untuk membayar yuran pengajian, baki yang tinggal adalah sikit untuk pelajar gunakan dalam menampung kos kehidupan seharian. Adakalanya, pelajar perlu juga mengikat tali perut dan ini boleh memberikan masalah kesihatan sekiranya berterusan.

Jadi, kebanyakan pelajar perlu mencari sumber pendapatan tambahan untuk menampung kehidupan mereka. Pihak IPTA juga ada menyediakan bantuan namun tidak semua pelajar yang mendapatnya.

Sumber : Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur