Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa supaya kerajaan mewujudkan sebuah kementerian kepenggunaan yang berasingan. Selain itu, kerajaan juga hendaklah mengekalkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Dua resolusi tersebut merupakan antara 12 resolusi yang dipersetujui oleh Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Gabungan FOMCA dalam Mesyuarat Persidangan Perwakilan FOMCA kali ke-40 yang diadakan di sini pada hari ini.

 

Melalui resolusi tersebut, FOMCA menggesa supaya:

1. Ditubuhkan sebuah kementerian kepenggunaan secara berasingan bagi mengelakkan konflik kepentingan apabila kerajaan perlu menjaga kepentingan peniaga dan perlindungan pengguna dalam kementerian yang sama.

2. Mendesak kerajaan mengekalkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, dan dalam masa yang sama perlu memperkukuh akta tersebut bagi meningkatkan perlindungan pengguna daripada peniaga yang mengambil keuntungan secara berlebihan.

3. Menguatkuasakan Akta Persaingan, 2010 secara lebih agresif untuk mewujudkan pasaran bebas daripada tindakan manipulasi harga oleh peniaga, dan meningkatkan perlindungan dan kesejahteraan pengguna.

4. Memberi keutamaan kepada rumah mampu milik kepada pembeli pertama, disebabkan oleh harga rumah di kawasan bandar semakin mahal dan hak untuk memiliki rumah adalah hak pengguna yang asas.

5. Mengekalkan dan meningkatkan sistem penjagaan kesihatan awam bagi memastikan kesihatan yang mampu dibiayai kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

6. Meningkatkan kecekapan, jaringan, kebolehpercayaan dan keupayaan pengangkutan awam untuk menggalakkan pengguna menggunakan pengangkutan awam, bagi mengurangkan perbelanjaan dan kesesakan jalan raya serta lebih mesra alam sekitar.

7. Keperluan untuk mengkodifikasikan hanya satu undang-undang mengenai e-dagang. Amalan membeli belah secara dalam talian telah meningkat dengan mendadak dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, perlu diwujudkan undang-undang berkaitan e-dagang yang dapat melindungi pengguna.

Terdapat beberapa akta yang perlu dirujuk apabila berurusan dengan perniagaan dalam talian. Oleh itu, kerajaan perlu menggubal hanya satu undang-undang sahaja yang mengawal selia perniagaan dalam talian yang kompleks itu.

8. Hak untuk `tempoh bertenang’ harus diberikan kepada pengguna, iaitu sekurang-kurangnya 14 hari untuk memutuskan sama ada mereka mahu meneruskan dengan kontrak. Tempoh ini lebih berkesan bermula pada tarikh penghantaran, dan bukan sebelum tarikh penghantaran, sebagaimana yang diamalkan di negara-negara Eropah.

9. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap taktik jualan agresif dalam sektor kesihatan dan kecantikan. Terdapat terlalu banyak iklan dan promosi secara besar-besaran kepada pengguna untuk mencuba produk dan rawatan kecantikan secara percuma. Selepas percubaan rawatan tersebut, terdapat pengguna yang tidak berpuas hati dengan hasil rawatan dan memutuskan untuk tidak meneruskan dengan rawatan tersebut.

Terdapat juga pengguna yang memerlukan masa untuk membuat keputusan sama ada mereka mahu melanjutkan rawatan di pusat kecantikan tersebut atau tidak. Tetapi, jurujual sering menggunakan taktik jualan secara agresif dengan memaksa pelanggan untuk membuat pendaftaran bagi mendapatkan rawatan dan membuat bayaran dengan segera.

Pihak berkuasa perlu memantau pusat kesihatan dan melakukan pemeriksaan atas pusat kecantikan, terutamanya selepas menerima aduan terhadap pusat tersebut. Pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan sewajarnya terhadap taktik jualan yang agresif.

10. Dalam sektor perbankan, bank-bank perlu bertanggungjawab terhadap tindakan pemungut hutang mereka. Institusi kewangan berhak untuk memungut hutang, tetapi jika melibatkan unsur-unsur ugutan, maka ia boleh menjadi gangguan kepada mereka, yang menyebabkan pengguna berasa takut atau hilang keyakinan diri. Oleh itu, bank perlu bertanggungjawab terhadap tindakan pemungut hutang mereka.

11. Menyokong langkah kerajaan Negeri Johor dan Perak baru-baru ini yang melarang penggunaan polisterina di negeri-negeri tersebut.

Larangan ini akan dapat menangani kesan penggunaan Styrofoam dalam pembungkusan makanan kepada alam sekitar. Styrofoam mengandungi bahan kimia Styrene, dan telah dikaitkan sebagai agen karsinogen kepada manusia. Di samping itu, polisterina menyebabkan sistem perparitan tersumbat, yang boleh mengakibatkan pembiakan nyamuk aedes serta turut menyumbang kepada banjir. Walau bagaimanapun, pengawalseliaan larangan ini perlu diperkukuh bagi pelaksanaan yang lebih berkesan dan manfaatnya yang boleh dinikmati oleh pengguna.

Bagi pelaksanaan yang lebih berkesan, satu kajian terperinci perlu dijalankan bagi mengenal pasti implikasi kos kepada peniaga-peniaga kecil dan pengguna. Di samping itu, pihak berkuasa tempatan perlu mewujudkan subsidi untuk menyerap kos pembungkusan alternatif yang lebih mahal – bagi memastikan kos tidak dipindahkan kepada pengguna. Selain itu, agensi-agensi yang berkaitan dan badan pengawalseliaan perlu memastikan adanya bekalan pembungkusan alternatif yang boleh diakses oleh peniaga-peniaga secara mudah, bagi menggalakkan pematuhan.

12. Meminta agar penguatkuasaan yang lebih ketat serta kewujudan undang-undang yang lebih seragam berkaitan keselamatan makanan untuk premis-premis makanan dan restoran di Malaysia. Hukuman yang dikenakan kepada pemilik kedai makan yang tidak bertanggungjawab pada masa ini tidak cukup untuk mengekang kesalahan mereka yang boleh membahayakan kesihatan awam.

Undang-undang berkaitan sistem penggredan premis makanan tidak diseragamkan kerana pihak berkuasa tempatan mempunyai kebebasan dalam beberapa perkara berkaitan dengan penggredan dan pelesenan.

Sistem penggredan yang seragam akan memanfaatkan pengguna. Pengguna dapat menjangkakan tahap penggredan kebersihan yang sama di semua premis – serta memudahkan promosi dan usaha untuk meningkatkan keselamatan makanan di premis oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia digesa untuk meningkatkan keselamatan makanan di Malaysia dengan pelan tindakan dan aktiviti yang lebih agresif dan konsisten. Senario keselamatan makanan masih boleh diperbaiki lagi di Malaysia, terutamanya kes keracunan makanan dalam kalangan murid-murid sekolah yang semakin banyak berlaku pada hari ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Datuk Dr Marimuthu Nadason mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden, Mohd Yusof Abdul Rahman pula sebagai Timbalan Presiden dan Dato’ Paul Selvaraj selaku Setiausaha Agung.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Mohd Yusof Abdul Rahman, Tel: 03–78774741/013-3484990; 
E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.)