Selama empat tahun berturut-turut, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengadakan Bulan Kewangan Berhemat pada bulan Oktober. Bulan Kewangan Berhemat ini diadakan dengan kerjasama dengan Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia.

Tujuan utama Bulan Kewangan Berhemat adalah:
1.    Untuk memberikan penekanan tentang kepentingan celik kewangan sebagai kemahiran hidup bagi semua orang.
2.    Untuk mendidik rakyat Malaysia tentang cara untuk membangun dan mengekalkan tabiat dan perilaku kewangan yang sihat untuk kesejahteraan kewangan mereka, dan 
3.    Untuk mengutarakan isu dan aduan pengguna tentang sektor perbankan dan kewangan. 

Pada tahun ini, Bulan Kewangan Berhemat meneruskan tema “Pendidikan Kewangan Untuk Semua”. 

Sepanjang bulan ini, pelbagai program dirancang, antaranya latihan kewangan untuk pra persekolahan, pendidikan kewangan untuk eksekutif muda, ceramah kesedaran kewangan di sekolah dan institusi pengajian tinggi, bengkel kewangan untuk komuniti, khususnya golongan belia dan wanita, serta pendidikan pelaburan untuk pemimpin masyarakat.


FOMCA memberikan perhatian yang serius terhadap Bulan Kewangan Berhemat.

Hutang isi rumah di peringkat makro dan masalah kewangan di peringkat individu dan isi rumah semakin membimbangkan. Menurut Menteri Kewangan Kedua, hutang isi rumah bagi rakyat Malaysia adalah 86.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. Ini merupakan antara kadar hutang isi rumah yang tertinggi di dunia. 

Jabatan Insolvensi melaporkan, antara tahun 2005 hingga November 2011, jumlah kes kebankrapan ialah 103,827.  Sebahagian besarnya, iaitu 32.2% adalah terdiri daripada golongan yang berusia 35 hingga 44 tahun. 

Menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pula, 60% individu yang mendapatkan khidmatnya adalah berusia di bawah 40 tahun. 15% daripadanya adalah golongan belia berumur 20-an. Salah satu penyebab utama masalah kewangan ini ialah kelemahan dalam menguruskan penggunaan kad kredit.

Dalam pada itu, KWSP mengatakan rakyat Malaysia tidak mempunyai persediaan kewangan yang mencukupi untuk persaraan mereka. Dalam kaji selidik yang dilakukan pada tahun 2003, 50% daripada pencarum KWSP menghabiskan wang KWSP mereka dalam tempoh 5 tahun, manakala 70% membelanjakannya dalam tempoh 10 tahun. Dengan mengambil kira usia rakyat Malaysia yang panjang, iaitu secara purata sehingga 75 tahun (atau 20 tahun lagi selepas bersara), menunjukkan simpanan atau pengurusan simpanan persaraan mereka adalah tidak mencukupi. 

Di peringkat mikro dan individu, Pusat Kajian dan Sumber Pengguna (Bahagian Pemikir FOMCA) dalam kaji selidik yang dilakukan terhadap golongan eksekutif muda, mendapati: 

Golongan muda berbelanja melebihi tahap kemampuan mereka.
Mereka mempunyai jumlah hutang peribadi yang tinggi.
Mereka mempunyai simpanan yang rendah; yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka apabila menghadapi sesuatu kesukaran hidup. 
Mereka tidak membuat anggaran perbelanjaan atau perancangan kewangan. 
Tahap pengetahuan kewangan mereka sangat rendah. 

Mereka banyak dipengaruhi oleh media dan rakan sebaya, yang mendesak mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang tidak mampan. 

Sebagai langkah ke hadapan untuk meningkatkan pendidikan kewangan di Malaysia, FOMCA mencadangkan, dan akan terus memberikan penekanan terhadap penubuhan: 

SURUHANJAYA PENDIDIKAN KEWANGAN

Suruhanjaya ini berperanan untuk menyediakan pelan kebangsaan bagi perancangan dan pengurusan kewangan, mengintegrasikan semua usaha pihak berkepentingan dan menggalakkan perkongsian awam-swasta ke arah agenda pendidikan kewangan.

Lebih penting lagi, satu penilaian yang ketat perlu dilakukan untuk menilai program kewangan semasa dan keperluan program kewangan pada masa akan datang, merupakan antara fungsi utama Suruhanjaya ini. Semua pihak perlu mengambil pendekatan untuk menyeluruh bagi mencapai hasrat yang diinginkan.

Suruhanjaya ini perlu bersifat inklusif, berpandangan jauh dan bersepadu dengan menggunakan kaedah penilaian yang ketat bagi mencapai keputusan yang diinginkan. 

FOMCA BERHARAP KERAJAAN MEMBERIKAN PERHATIAN YANG SERIUS TERHADAP APA YANG DIPERLUKAN DALAM PENDIDIKAN KEWANGAN.



Untuk maklumat lanjut, hubungi, Encik Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi, FOMCA, di talian: 013-348 4990