Sesuatu pinjaman kewangan daripada bank adalah tertakluk kepada beberapa syarat dan terma yang ditetapkan. Biasanya syarat dan terma ini termaktub dalam perjanjian bertulis. Sebagai peminjam kita hanya menumpukan perhatian kepada beberapa syarat sahaja, seperti jumlah pinjaman kewangan, peratusan kadar bunga, jangkamasa bayar balik pinjaman dan jumlah bayaran ansuran bulanan. Jarang sekali, seseorang itu, mengambil tahu syarat-syarat lain yang sama pentingnya dan harus difahami, bahkan lebih penting daripada syarat-syarat dinyatakan di atas.

Salah satu syarat yang amat penting adalah peratusan kadar denda dikenakan ke atas peminjam, apabila peminjam mahu melangsaikan pinjaman sepenuhnya, lebih awal daripada tarikh tamat tempuh pinjaman sebenar. Mengikut sesuatu perjanjian pinjaman kewangan yang telah di tandatangani, penyelesaian awal dari tempuh tarikh telah ditetapkan merupakan satu pelanggaran syarat perjanjian dan akan dikenakan denda oleh pihak bank.

Kadar peratusan dan jumlah denda yang akan dikenakan ini adalah berbeza di antara bank. Bank juga sering menetapkan satu jangka masa tertentu dipanggil “log-in-period”, iaitu suatu jangka masa tiga atau lima tahun bermula dari tarikh akhir pinjaman dikeluarkan. Dalam jangka masa ini apabila seseorang mahu melangsaikan pinjaman secara penuh, maka dia akan dikenakan satu denda kadar peratusan yang tinggi. Kadar peratusan denda yang dikenakan pada masa ini boleh mencecah sehingga 4.5% daripada jumlah pinjaman. Selepas ”log-in-period” ini, kadar peratusan ini adalah rendah sehingga tamat tempoh pinjaman.

Pengenaan kadar denda ini juga tidak dimasukkan di dalam perjanjian, kecuali dianggap sebagai satu pengingkaran syarat perjanjian dan akan dikenakan satu denda. Oleh itu, sebagai peminjam, anda haruslah memahami bayaran denda ini sebelum melibatkan diri mereka untuk mengambil satu pinjaman bank ataupun apabila ingin melangsaikan penjaman lebih awal.

Ramai pengguna yang terkejut apabila diberitahu oleh pihak bank tentang bayaran denda yang begitu tinggi semasa menebus balik harta benda dari pegangan bank. Justeru, pengguna perlu mengetahui tentang syarat dan terma pinjaman termasuk denda melangsaikan hutang lebih awal.

 

Vasudavan Perumal
Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)