Gabungan Persatuan Pengguna-Penguna Malaysia telah memulakan siri jelajah Ceramah Kepenggunaan Hari Pengguna Malaysia 2010. Siri jelajah, bersempena dengan Kempen Konsumer Kebangsaan (3K), yang melibatkan pelajar sekolah dan masyarakat umum di kawasan luar bandar ini, bermula pada 26 Mac hingga 11 Julai 2010.

Program ceramah ini bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan pendidikan kepenggunaan dalam kalangan pelajar sekolah dan masyarakat luar bandar. Menerusi program yang diadakan ini, para peserta program diharap dapat menukar minda dan perlakuan ke arah gaya hidup dan amalan penggunaan berhemat.

Sesi jelajah ini memberikan tumpuan kepada sekolah rendah dan menengah di kawasan luar bandar yang mempunyai Kelab Pengguna Sekolah dan aliran Perdagangan, Sivik, Bahasa dan Ekonomi. Pada tahun ini, FOMCA memberikan sasaran untuk melibatkan sebanyak 100 buah sekolah dalam program siri jelajah ini.

Antara modul yang dibincangkan ialah hak dan tanggungjawab pelajar sebagai pengguna, pengurusan kewangan, penggunaan berhemat dan hak untuk membuat aduan serta gantirugi. Pelajar turut ditekankan tentang kepentingan penjagaan alam sekitar dan mengurangkan penggunaan beg plastik serta polisterin.

Siri jelajah ini turut disertai dengan pertandingan mewarna kepenggunaan di beberapa pasar raya Giant terpilih, perpustakaan awam negeri terpilih dan kawasan komuniti. Sebanyak 28 lokasi pertandingan mewarna akan dilaksanakan. Masyarakat umum juga berpeluang untuk mendapatkan maklumat menerusi 15 siri risalah Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) yang diedarkan secara percuma kepada pengunjung yang hadir di sepanjang program ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang program Hari Pengguna Malaysiadan Kempen Konsumer Kebangsaan (3K), sila layari laman web www.mypengguna.com dan www.kkk.org.my.

Siti Rahayu Zakaria
1 April 2010

{morfeo 3}