Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, MIROS menyokong usaha kerajaan dalam mempertingkat penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang bahagian belakang kenderaan. Ini kerana penguatkuasaannya masih berkurangan meskipun ia sudah lama diwajibkan. Menurut Pengerusi MIROS, Tan Sri Lee Lam Thye, setakat ini penggunaan tali pinggang keledar di kalangan penumpang belakang kenderaan masih lagi rendah. Selain daripada penguatkuasaan, pihaknya juga turut menyokong usaha kerajaan dalam menambah jumlah kamera AES, yang baginya dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan. Statistik kadar kematian akibat kemalangan jalan raya yang dikeluarkan PDRM menunjukkan penurunan, namun secara purata 18 orang mati setiap hari akibat kemalangan jalan raya.