PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Satu garis panduan pengurusan kereta terbiar di kawasan perumahan dan tempat awam akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet bulan hadapan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata garis panduan itu yang dibangunkan dan dibentangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), juga akan dibentangkan pada Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan pada Jun, sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada Julai nanti.
Garis panduan itu, katanya, akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melupuskan kenderaan terbiar tidak melebihi 33 hari berbanding satu tahun sebelum ini berdasarkan peruntukan menerusi Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2018.