September 3, 2021 @ 11:26am
Putrajaya: Kementerian Pengangkutan memberi perlanjutan terhadap tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) sehingga 31 Disember nanti.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, selaras dengan keputusan itu, mana-mana pemilik LKM dan LMM yang tamat tempoh sah tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 31 Disember nanti.

"Bagaimanapun, pemilik LKM yang tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah. Sijil Perlindungan Insurans (e-cover note) yang sah perlu dipaparkan dan ditunjukkan bagi tujuan pemeriksaan.

"Dengan pengoperasian semula kaunter ini, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian untuk memberi sokongan kepada pelanggan yang menerima vaksinasi lengkap untuk berurusan di kaunter JPJ," katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif terhadap keperluan orang ramai menerusi pengoperasian semula kaunter JPJ di seluruh negara dan juga rakan strategik JPJ iaitu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi semua urusan dengan kapasiti 100 peratus secara walk-in mulai 6 September ini.

"Pelanggan yang mahu berurusan di kaunter JPJ mesti mendapat vaksinasi lengkap sebagai langkah berjaga-jaga yang diperlukan bagi menjaga kesihatan serta keselamatan orang ramai termasuk kakitangan bertugas.

"Pada masa sama, individu yang hadir juga perlu menunjukkan status Risiko Rendah Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/750380/tempoh-pembaharuan-lkm-dan-lmm-dilanjutkan-hingga-31-disember