KEHADIRAN Uber dan GrabCar sedikit sebanyak melegakan rakyat khususnya golongan pertengahan yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam lebih efisien dan cepat.

Alternatif perkhidmatan baharu tersebut dilihat sebagai langkah mengurangkan kos perbelanjaan yang semakin meningkat terutama kepada golongan pekerja yang terpaksa menggunakan pengangkutan tersebut setiap hari ke pejabat.

Perkhidmatan Uber dan GrabCar juga menimbulkan suatu polemik baharu kepada kerajaan sama ada mengharamkannya atau memikirkan suatu mekanisme baharu bagi mengawal selia perkhidmatan tersebut.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman (gambar) berkata, pengguna teksi mula beralih ke arah perkhidmatan baharu itu setelah melihat sistem tambang dan keselesaan kereta yang diambil kira.

 

“Saya melihat pengguna mengambil peluang memilih perkhidmatan Uber dan GrabCar kerana lebih selesa serta murah berbanding menggunakan teksi yang kadangkala menaikkan tambang tanpa mengikut meter.

 

“Namun, ada juga pengguna bimbang tentang insurans kemalangan sekiranya mereka menaiki Uber atau GrabCar yang masih belum mendapat status untuk dikomersialkan di negara ini.

“Pengguna sudah matang untuk memilih perkhidmatan terbaik selaras dengan tambang berpatutan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” ujarnya.

Sehingga kini, penggunaan Uber dan GrabCar berjaya menarik kira-kira 70 peratus pengguna sejak aplikasi perkhidmatan itu diperkenalkan.

Di samping itu, katanya, FOMCA berharap kedatangan perkhidmatan baharu tersebut dapat memberi persaingan sihat dalam membantu meningkatkan sistem pengangkutan awam di negara ini.

“Semua perkhidmatan ini banyak membantu warga kota untuk ke mana-mana destinasi.

“Bagaimanapun, kadar tambang dan keselesaan menjadi faktor utama pilihan pengguna,” ujarnya.

 

Sumber dari Utusan Online http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tambang-uber-grabcar-lebih-murah-8211-fomca-1.412450