Petaling Jaya, 7 Oktber 2010 – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) mendesak kerajaan mewujudkan Dasar Pengangkutan Negara sebagai dasar yang menentukan hala tuju pengangkutan awam di Malaysia.

Penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang ditubuhkan bagi mengendalikan sistem pengangkutan awam darat tidak mencukupi jika tiada satu dasar yang menyeluruh mengenai sistem pengangkutan awam.

Desakan ini dibuat oleh Datuk Marimuthu Nadason, presiden FOMCA dan Datuk Mohd Ashfar Ali, presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) dalam satu sidang media yang diadakan di sini hari ini.

Sidang media ini diadakan sebagai susulan daripada laporan media tentang peningkatan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) tentang pengangkutan awam. Dalam tempoh lapan bulan pertama 2010, NCCC menerima sebanyak 1,160 aduan berbanding 2,024 kes pada tahun 2009.

Walaupun kerajaan telah mewujudkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam, iaitu meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam kepada 25% pada akhir 2012, berbanding 16 peratus pada masa ini, namun tidak terdapat satu dasar yang jelas bagaimana NKRA ini dapat dicapai.

NKRA seolah-olah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, tetapi tanpa adanya kerjasama daripada pengusaha pengangkutan awam dan sokongan pengguna sendiri menggunakan pengangkutan awam, usaha kerajaan ini sudah tentu tidak akan tercapai.

Justeru, kewujudan Dasar Pengangkutan Negara amat diperlukan bagi sebagai panduan kepada kerajaan untuk menambah baik sistem pengangkutan awam, di samping pengusaha bas sendiri mengetahui perancangan berkaitan pengangkutan awam yang bakal dilaksanakan. Selain itu, pengguna juga maklum tentang usaha kerajaan dalam meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi juga di seluruh begara.

Dalam satu kaji selidik yang dijalankan oleh FOMCA, pengangkutan awam merupakan masalah kedua yang dihadapi pengguna, selain daripada masalah utama, iaitu kenaikan harga barang.

Klik disini untuk muat turun Kenyataan Media
Click here to download Media Statement
Laporan oleh:


Mohd Yusof Abdul Rahman