GEORGETOWN: Kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina sejuta unit kediaman mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang.Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata sebagai permulaan pihaknya akan membina 100,000 unit kediaman setiap tahun.“Kita akan mula membina kediaman-kediaman itu bermula tahun ini dan ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.“Semua projek perumahan di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) ini akan diselaraskan KPKT,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Pulau Pinang 2019 di SPICE Arena di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan perancangan, kesemua unit rumah itu akan merangkumi semua kategori rumah mampu milik termasuk bagi kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) supaya mereka juga memiliki rumah yang sesuai untuk didiami.Namun, kata beliau, lokasi dan unit rumah yang akan dibina di setiap negeri akan ditentukan dalam masa terdekat selepas melalui perbincangan susulan dengan pihak berkaitan,” katanya.Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon.

Beliau berkata, ekspo yang dilangsungkan hari ini memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli kediaman yang bersesuaian dengan mereka.“Di ekspo ini mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai projek yang dijalankan selain dapat membuat perbandingan pemaju yang menepati cita rasa mereka.“Di Pulau Pinang, melalui tinjauan yang dilakukan, saya mendapati kawasan pembangunan sudah terlalu padat dan menyokong usaha kerajaan negeri untuk menumpukan pembangunan ke kawasan Seberang Perai,” katanya.Zuraida berkata, sesuai dengan misi kerajaan negeri yang mahu menjadikan Seberang Perai sebagai kawasan masa depan Pulau Pinang, banyak pembangunan mula dibangunkan di sana seperti di Batu Kawan dan kawasan sekitarnya.

“Pulau Pinang dilengkapi dengan fasiliti pengangkutan yang sempurna termasuk mempunyai dua jambatan utama menghubungkan kawasan seberang dan pulau serta selepas ini, terowong dasar laut juga bakal dibina.“Usaha kerajaan negeri bagi mengadakan ekspo dan pameran hartanah seperti ini juga membantu orang ramai mendapatkan maklumat mengenai pembangunan perumahan terbaru di negeri ini dan seterusnya memilikinya,” katanya.

Menurutnya, ada pihak mengatakan bahawa pembangunan hartanah mampu milik yang semakin rancak setiap tahun juga akan memberi kesan lambakan rumah tidak terjual, namun beliau yakin ia akan dijual melalui penganjuran ekspo sebegini.“KPKT, REHDA dan pemaju sudah berunding untuk mengadakan ekspo-ekspo sebegini bagi menjual rumah-rumah tidak terjual,” katanya.Menurutnya, KPKT juga dalam perbincangan dengan beberapa institusi kewangan dalam usaha untuk menawarkan beberapa inisiatif bagi memudahkan golongan B40 memiliki rumah, antaranya skim sewa dan beli serta skim bank.Beliau berkata, pembeli terutama golongan berpendapatan rendah mampu untuk membayar sewa bulanan, namun terbeban untuk membayar deposit dan alternatif bagi mengatasinya sedang diperhalusi KPKT.