Muzamil (bukan nama sebenar) bercadang untuk membeli rumah sendiri selepas menyewa selama tiga tahun. Beliau akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, dan mahu menyediakan kediaman sendiri untuknya dan bakal isteri bagi sama-sama melayari rumah tangga dan membina keluarga bahagia.Muzamil mempunyai sedikit simpanan yang dirasakan cukup untuk membayar deposit, yuran guaman dan kos-kos berkaitan pembelian rumah pertamanya, dan beliau memerlukan pembiayaan daripada pihak bank.Muzamil berminat dengan sebuah rumah yang telah siap dan terus membayar deposit kepada agensi hartanah berlesen, menerusi ejen hartanah yang memasarkan rumah berkenaan bagi pihak penjual.

Muzamil juga mensyaratkan di dalam surat tawaran pembelian bahawa pembelian itu mestilah tertakluk kapada kelulusan pembiayaan.
Beliau ada terbaca pesanan seorang peguam di dalam satu artikel di Facebook bahawa semua tempahan pembelian hendaklah disyaratkan tertakluk kepada kelulusan pembiayaan oleh pihak bank.
Ini kerana jika pembiayaan tidak diluluskan, Muzamil boleh menuntut kembali deposit yang dibayar kerana wujudnya syarat itu.

Tugas peguam selepas pembiayaan lulus

Peguam yang dilantik oleh pihak bank biasanya memulakan proses aliran kerja dengan melakukan carian tanah di pejabat tanah berkenaan, carian kebankrapan ke atas peminjam dan penjual, menulis surat kepada Peguam yang menguruskan Perjanjian Jualbeli serta meminta beberapa pengesahan dan akujanji daripada peguam berkenaan.
Sekiranya hartanah itu tertakluk kepada sekatan kepentingan seperti kebenaran menggadai dan kebenaran pindah milik daripada pihak berkuasa negeri, peguam pihak bank akan memohon salinan kebenaran pindah milik daripada peguam jualbeli (jika sudah diperolehi) sebelum mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk menggadai.

Tandatangan dokumen pembiayaan

Selepas dokumentasi pembiayaan disediakan, peguam akan menghubungi peminjam dan membuat janji temu. Peminjam digalakkan untuk hadir sendiri ke pejabat peguam untuk menandatangani dokumen yang berkaitan.
Selepas ditandatangani, dokumen akan dihantar kepada pihak bank untuk pihak bank tandatangani dan dikembalikan kepada peguam.
Peguam selanjutnya akan menyerah hantar dokumen untuk disetemkan di pejabat duti setem Lembaga Hasil Dalam Negeri selepas memuat naik butir-butir transaksi di laman duti setem secara dalam talian.
Peguam juga akan mendapatkan atau membuat semakan cukai pintu dan cukai tanah rumah berkenaan sudah dibayar dan terkini.

Tebus hutang

Peguam akan mendapatkan penyata tebus hutang dari bank yang penjual berhutang sekiranya har- tanah terbabit masih digadaikan kepada pihak bank oleh penjual.
Penyata tebus hutang akan menunjukkan baki hutang penjual kepada banknya. Sekiranya hartanah berkenaan mempunyai suratan hak milik individu, kaveat persendirian bagi pihak bank akan diarah untuk didaftarkan di pejabat tanah sebagai sekuriti sementara untuk melindungi kepentingan bank yang memberi pinjam, untuk menebus hutang penjual dan melepaskan gadaian yang dicipta ke atas hartanah berkenaan.
Apabila semua dokumen sekuriti, surat akujanji, pengesahan dan beberapa perkara dan syarat lain dipatuhi, peguam akan menasihatkan pihak bank bahawa adalah teratur untuk bank mengeluarkan sebahagian wang pembiayaan.

Pengeluaran wang seterusnya

Selepas surat hak milik asal dan borang melepaskan gadaian diperolehi dari pihak bank penjual, dan duti setem sudah dibayar, peguam bank akan menyerahkan borang pindah milik (yang diperolehi daripada peguam jual beli), gadaian beserta suratan hakmilik kepada pejabat tanah berkenaan untuk didaftarkan.
Peguam akan sekali lagi mengeluarkan surat pengesahan dan nasihat kepada pihak bank pembeli bahawa baki pembiayaan selepas ditolak wang tebusan hutang, adalah teratur untuk dikeluarkan, untuk dibayar kepada penjual.
Selepas wang disahkan telah dibayar atau didepositkan dengan peguam penjual atau peguam jualbeli, pembeli boleh mengaturkan hari yang sesuai untuk mengambil kunci dan pemilikan kosong rumah yang sudah dibeli.

Proses umum

Proses yang dinyatakan di atas adalah proses umum pembiayaan untuk pembelian hartanah. Setiap kes adalah berbeza dan bergantung kepada jenis hartanah, jenis hak milik dan kandungan perjanjian jual beli yang disediakan.
Peguam yang bertanggungjawab akan menguruskan transaksi dengan sebaik mungkin dan memastikan bahawa pihak penjual mendapat wang hasil jualan dan pembeli memperoleh rumah yang dibeli, dalam tempoh yang dipersetujui.