KUALA LUMPUR: Pasukan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap penduduk di sekitar Seksyen 1, Wangsa Maju di sini yang melakukan halangan pada petak letak kereta awam yang disediakan.Dalam ‘Operasi Halangan Petak Parking’ semalam oleh DBKL, pasukan penguatkuasaan mengambil barang-barang yang diletakkan oleh sebahagian penduduk di sekitar rumah pangsa Seksyen 1, Wangsa Maju, sebagai cuba memonopoli petak letak kereta awam.

Pengarah Penguatkuasa DBKL, Azman Mahmood, berkata setiap petak letak kereta awam yang disediakan adalah kemudahan umum untuk semua penduduk dan bukan ruang yang tetap untuk individu tertentu.“Konsepnya mudah, siapa cepat dia dapat petak letak kereta berkenaan dan ia disediakan untuk semua penduduk di kawasan berkenaan, tidak boleh dikuasai atau dimonopoli pihak tertentu.

“Sekiranya ada penduduk yang menggunakan satu petak letak kereta hari ini, maka belum tentu pada keesokan harinya atau hari-hari akan datang petak berkenaan adalah untuk kegunaan penduduk itu saja,” katanya ketika dihubungi hari ini.Azman Mahmood berkata dalam operasi berkenaan yang bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang semalam, pihaknya mengalihkan pelbagai jenis objek seperti tong minyak, tong cat, bekas minyak hitam, tong sampah, tayar dan tong mengandungi kayu serta besi yang diletakkan sebahagian penduduk dalam kawasan petak letak kereta awam.

“Petak letak kereta awam yang disediakan adalah percuma untuk kegunaan semua penduduk dan tidak dimiliki oleh sesiapapun.“Tindakan meletakkan objek-objek sebagai petunjuk petak berkenaan miliknya adalah salah dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.Beliau berkata, pihaknya percaya kegiatan memonopoli petak letak kereta awam turut berlaku di beberapa kawasan kediaman khususnya sekitar rumah pangsa, rumah kedai, pusat perniagaan dan kedai makan di seluruh Kuala Lumpur dan pemantauan terus dilakukan sebelum tindakan selanjutnya diambil.