1.    Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada Jun tahun ini berkata kerajaan sedang mengkaji pengenaan cukai ke atas minuman bergula. Pada pendapat Fomca, adakah ini akan membantu rakyat mengurangkan pengambilan minuman bergula?

FOMCA menyokong cadangan pihak kerajaan mengkaji pengenaan cukai ke atas minuman bergula. Antara sebab mengapa kerajaan ingin mengenakan cukai atas minuman bergula kerana masalah obesiti dan diabetes yang semakin ramai dihidapi oleh rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, pengenaan cukai sepenuhnya akan menyebabkan harga terhadap produk makanan bergula dan rantaian pelbagai makanan dan minuman akan  meningkat. Kesan rantaian ini  akan memudaratkan kebajikan pengguna, khususnya golongan yang pendapatan rendah. Oleh itu,

sewajarnya pengenaan cukai ke atas minuman bergula, sekiranya dilaksanakan, tidak menyebabkan kesan rantaian ini.. 


2.    Di negara yang melaksanakan sistem cukai ke atas minuman bergula, terdapat pandangan bahawa sistem ini tidak mampu mengurangkan pengambilan minuman bergula di kalangan pengguna kerana mereka berkemungkinan akan beralih kepada jenama yang menawarkan produk yang lebih murah. Produk-produk tersebut mungkin lebih membahayakan kesihatan pengguna kerana mengandungi kandungan berkualiti rendah. Apakah pandangan Fomca dari segi ini? 


Pengeluaran produk minuman yang lebih murah, berkemungkinan menggunakan pemanis tiruan. Pemanis tiruan banyak digunakan dalam makanan dan minuman proses yang dipromosikan sebagai rendah kalori atau “diet” atau “tiada gula”. Gula ini didakwa  lebih baik untuk kesihatan. Pemanis tiruan dikatakan tidak mengandungi kalori.  Namun sebenarnya gula tiruan ini  lebih manis daripada gula biasa. Penggunaannya  boleh membahayakan kesihatan pengguna dan boleh mengubah sistem semula jadi tubuh badan.Kajian yang dijalankan oleh Dr. Julie Lin dan Dr Gary Curhan dari Hospital Wanita Brigham, Massachusettes, Amerika Syarikat mendapati pengambilan sekurang-kurangnya 2 hidangan minuman soda setiap hari boleh mempercepatkan kadar kemorosotan fungsi buah pinggang sebanyak 2 kali ganda. 

Penggunaan pemanis tiruan ini juga perlu dikaji agar tidak digunakan secara meluas  oleh pihak industri makanan. 


3. Secara keseluruhannya, adakah pengenaan cukai ke atas minuman bergula dapat membantu rakyat Malaysia mengurangkan pengambilan minuman tersebut atau sebaliknya, merupakan beban ke atas pengguna? 



Pada masa ini, kerajaan telah mengenakan GST kepada pengguna. Cukai terhadap minuman bergula juga turut dikenakan cukai. Seperti yang telah dimaklumkan, pengenaan cukai perlu mengambil kepentingan golongan yang berpendapatan rendah. Pengenaan cukai akan menyebabkan kenaikan harga minuman dan makanan berasaskan gula. Kerajaan perlu memberikan satu insentif terhadap golongan pendapatan rendah ini. Dalam pada masa yang sama, meningkatkan penguatkuasaan terhadap bekalan gula agar tidak berlaku pengelewengan ataupun aktiviti penyeludupan ke Negara jiran kerana harga gula di Malaysia masih dalam kategori yang murah. 


4. Selain minuman, pelbagai produk di pasaran juga mengandungi gula yang tinggi. Sekiranya cukai dikenakan ke atas minuman bergula, ia mungkin akan menjurus kepada pembelian produk bergula lain seperti coklat di kalangan rakyat yang menggemarkan makanan manis. Adakah lebih wajar untuk mengenakan cukai ke atas makanan serta minuman yang mengandungi gula berlebihan? 


Wajar untuk mengenakan cukai ke atas makanan dan minuman yang mengandungi gula berlebihan atas sebab faktor penggunaan gula berlebihan boleh memudaratkan kesihatan secara umum. Seperti masalah kegemukan, kemurungan, kegagalan sistem dalam badan dan kurang bersenam dan tidak melakukan pergerakan aktiviti fizikal secara aktif. 

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati 3.5 juta atau 17.5 peratus rakyat negara ini berumur 18 tahun ke atas didiagnos menghidap diabetes berkenaan disebabkan gaya hidup dan menurut  Presiden Persatuan Diabetes Sedunia (MDA), 70 peratus daripada penghidap diabetes jenis dua boleh dielakkan melalui perubahan pemilihan makanan dalam seharian

Walau bagaimanapun, pihak industri minuman bergula perlu mewujudkan pilihan kepada pengguna. Pengguna mempunyai hak untuk membuat pilihan minuman yang mereka inginkan. Oleh itu, industri minuman perlu juga mengeluarkan minuman yang tidak menggunakan gula, sebaliknya menggunakan gula alternatif seperti stevia, yang tidak dikenakan cukai.


5. Pada tahun 2013, kerajaan memansuhkan subsidi gula sebanyak RM0.34 sekilo. Tiga tahun kemudian, pada tahun 2016, Malaysia masih lagi dikenali sebagai negara yang paling gemuk di Asia. Ia menandakan pemansuhan gula dalam menangani masalah obesiti dan diabetes tidak berapa berkesan. Apakah langkah yang harus diambil oleh kerajaan untuk menangani isu obesiti dan diabetes tanpa membebankan rakyat? 



Langkah yang seharusnya boleh diambil adalah dengan menggalakkan pelbagai aktiviti melibatkan fizikal secara keseluruhannya bermula dari peringkat sekolah, institut pengajian tinggi, agensi kerajaan, badan korporat dan komuniti.  Kerajaan  perlu  meningkatkan pendidikan kesihatan kepada rakyat supaya mengamalkan  gaya hidup yang sihat secara berterusan. 

Kerajaan juga boleh mengenakan cukai yang berbeza kepada industri yang menggunakan gula berlebihan, ianya sebagai langkah untuk menggalakkan industri mengeluarkan minuman yang lebih sihat dan kurang gula. 

Taktik pemasaran dan iklan minuman bergula juga perlu dihadkan melalui iklan televisyen dan atau tiada iklan pada waktu perdana atau “prime time”


6. Sekiranya sistem pengenaan cukai dilaksanakan, apakah impak kepada pengguna serta bisnes secara keseluruhannya? 


Inovasi pasaran seharusnya berkembang ke arah memelihara dan menggalakkan pemakanan yang sihat dikalangan masyarakat awam. Oleh itu,  industri juga perlu memainkan peranan yang penting dan aktif serta beretika dalam membimbing masyarakat pengguna bagi menggalakkan  pilihan makanan yang lebih sihat.

Label pada produk makanan juga boleh ditingkatkan seperti yang telah dilakukan di Negara Australia dan Negara maju yang lain iaitu penggunaan sistem  lampu lalu lintas (traffic light) pada produk makanan yang diproses. Penggunaan sistem ini dapat membantu pengguna membuat pilihan makanan secara bijak. 

Label pada produk minuman perlu dijelas dan tidak mengelirukan pengguna. Pada masa ini, label kandungan gula hanya terdapat pada minuman berbotol atau kotak, namun kandungan gula tidak dinyatakan bagi kebanyakan minuman segera seperti 3 in 1, hal ini menyukarkan pengguna membuat pilihan. Saiz tulisan dan susunan label juga menyukarkan pengguna untuk membacanya. Perkara ini perlu dilihat lebih serius demi untuk kepentingan pengguna sejagat. 


Oleh :
Siti Rahayu Zakaria
Ketua Pegawai Operasi FOMCA