PETALING JAYA: FOMCA mendesak kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan untuk memastikan pengguna mendapat manfaat harga barang yang lebih rendah berikutan penurunan harga petroleum.

Peniaga tidak beretika menaikkan harga barang apabila harga petroleum meningkat untuk mengaut keuntungan yang berlebihan. Namun apabila harga petroleum turun, mereka turut membuat keuntungan yang tinggi daripada kos operasi yang rendah.

"Penguatkuasaan akta ini penting supaya pengguna mendapat harga yang rendah dan bukannya peniaga mendapat manfaat daripada kenaikan untung," kata persatuan itu dalam kenyataan di sini hari ini.



Selain itu, Suruhanjaya Persaingan juga perlu menyiasat sama ada terdapat pakatan perniagaan untuk mengekalkan harga sebagaimana sebelum penurunan harga petroleum atau amalan lain yang bersifat antipersaingan yang boleh memanipulasi harga.

Ini kerana, ramai peniaga masih mengekalkan harga mereka, sedangkan sepatutnya mereka menurunkan harga barang berikutan harga baharu produk petroleum.

"Pengurangan harga petroleum sepatutnya memberi kebaikan kepada pengguna. Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang dan mekanisme lain bagi memastikan pengguna benar-benar mendapat manfaat daripada penurunan harga petroleum," kata FOMCA.

Harga minyak dunia mencatat penurunan yang ketara. Harga setong pada bulan Jun 2014 sebanyak AS$115 (RM404), turun kepada paras di bawah AS$60 (RM210) setong pada Disember 2014.

Di Malaysia, sebagai usaha untuk mengurangkan subsidi ke arah ekonomi yang lebih mapan, kerajaan memansuhkan subsidi petrol dengan penetapan harganya dibuat berdasarkan sistem apungan terkawal.

Bagi mencerminkan keadaan semasa harga minyak semasa, pada Januari 2015, harga RON95 telah diturunkan daripada RM2.26 kepada RM1.91, iaitu penurunan sebanyak 35 sen seliter; harga RON 97 dikurangkan daripada RM2.46 seliter kepada RM2.11 seliter, iaitu kurang 35 sen seliter. Diesel pula daripada RM2.23 seliter kepada RM1.93, pengurangan sebanyak 30 sen.

Penurunan harga yang agar besar ini sudah tentu memberi kesan kepada industri pengangkutan dan industri lain yang mana petroleum adalah antara komponen kos utama.

Selain kesan langsung kepada industri berasaskan petroleum, dalam ekonomi yang lebih luas, penyusutan harga petroleum juga memberikan kesan berganda yang lebih besar lagi.

Umpamanya, di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), harga tenaga meliputi lebih satu per tiga kos bagi pengeluaran bijirin. Begitu juga, harga petroleum mempengaruhi kos pengeluaran bagi barang pengguna lain.

Oleh itu, penurunan harga petroleum yang ketara ini sepatutnya merendahkan lagi harga banyak barang pengguna sekali gus mengurangkan perbelanjaan pengguna terhadap barangan berkenaan.

Sebelum ini, setiap kali harga petroleum dinaikkan, hampir sebahagian besar harga barangan turut mengalami kenaikan, yang kadangkala lebih tinggi daripada kadar kenaikan harga minyak. Sebagai contoh, apabila harga petroleum naik 20 sen seliter, kebanyakan kedai makan menaikkan harga minuman sebanyak 20 sen segelas. Alasan kenaikan ini ialah harga petrol memberikan kesan kepada kos mereka.

Oleh itu, apabila harga petroleum diturunkan, pengguna menjangkakan penurunan harga barangan.

Namun, adakah harga makanan dan barang keperluan lain diturunkan seiring dengan harga baru petrol?

Apa yang menjadi kebimbangan FOMCA ialah walaupun harga produk petroleum turun, peniaga dan kedai makan masih mengekalkan harga jualan mereka. Justeru, mereka dapat mengaut keuntungan yang lebih tinggi kerana kos operasi semakin rendah.

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/28676