FOMCA amat mengalu-alukan saranan yang dibuat oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terhadap ahli-ahlinya supaya memboikot peniaga yang menaikkan harga barang secara senyap. Saranan ini telah mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan lain, seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (PERKASA).

Saranan ini bertujuan untuk menggalakkan pengguna menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna. Jika mereka mendapati berlakunya kenaikan harga barang sehingga tidak setimpal dengan nilai wang mereka, maka mereka perlu menggunakan kuasa untuk tidak membeli dan mencari alternatif lain.

Namun begitu, FOMCA agak bersikap skeptik dengan saranan memboikot ini kerana ia telah berulang-ulangkali diutarakan, tetapi gagal mendapat sambutan daripada masyarakat pengguna. FOMCA sendiripun pada tahun 1990-an sering menyarankan pengguna supaya memboikot barangan yang naik harganya, tetapi tidak mendapat sambutan baik daripada pengguna.

Mungkin terdapat banyak faktor yang menyebabkan usaha ini tidak mendapat perhatian pengguna, seperti pengguna tidak mempunyai banyak pilihan, melainkan terpaksa membeli barangan tersebut kerana ia merupakan barang keperluan asas. Selain itu, tidak wujudnya persaingan yang sihat sehingga wujudnya monopoli pasaran oleh pihak-pihak tertentu. 

Justeru, FOMCA lebih giat memberikan kesedaran kepada pengguna tentang hak dan tanggungjawab mereka agar mereka secara sendirinya akan bertindak tanpa wujudnya dorongan daripada mana-mana pihak.

Dalam masa yang sama FOMCA juga percaya masalah kenaikan harga barang ini boleh diatasi sekiranya beberapa langkah dilakukan, khususnya oleh pihak kerajaan. Antaranya, memastikan bekalan bahan makanan sentiasa mencukupi di pasaran. Negara juga perlu  menghasilkan bahan makanan secukupnya untuk keperluan rakyat tanpa banyak bergantung kepada import daripada luar. Selain itu, persaingan yang sihat antara para peniaga perlu diwujudkan agar tidak ada pihak-pihak tertentu yang memonopoli pasaran.

Pada masa ini, kerajaan juga telah mewujudkan pelbagai inisiatif untuk rakyat membuat pilihan mereka sendiri, seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Portal 1Malaysia Pengguna Bijak dan sebagainya. Pengguna perlu mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap inisiatif ini bagi mendapat pilihan barang yang berharga rendah.

Mohd Yusof Abdul Rahman
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)