Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang membina sembilan tapak pelupusan sisa pepejal sanitari pada tahun 2011 untuk memproses 17,000 tan sisa sehari di Malaysia. Tapak pelupusan ini akan dibina satu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan dua buah di Terengganu dan Perak.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga ingin menukarkan semua tapak pelupusan sisa pepejal di Malaysia kepada tapak pelupusan sisa pepejal sanitari kerana sisa pepejal dijangka meningkat kepada 30,000 tan menjelang 2020.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata, tapak pelupusan sisa pepejal sanitari diwujudkan kerana kaedah itu lebih ekonomik dan mesra alam sekitar.

Tapak pelupusan sisa pepejal sanitari direka bentuk dengan sempurna dan melibatkan komponen-komponen kejuruteraan. Ia juga menggunakan teknologi terkini bagi mengawal pencemaran. Tapak pelupusan jenis ini juga menggunakan infrastruktur dengan pelbagai kemudahan seperti penyimpanan, pengumpulan,pengangkutan dan pemprosesan sisa sebelum peringkat akhir pelupusan.

Tapak pelupusan sanitari juga mempunyai loji rawatan air larut resap ke dalam sumber air bawah tanah, sistem saluran paip untuk menyerap gas metana yang dihasilkan daripada proses pereputan sampah serta sistem penutupan sampah yang dilupuskan bagi mengelak risiko bau.

“Walaupun kos untuk mewujudkannya tapak pelupusan sisa pepejal sanitari adalah lebih tinggi, namun ia mampu menjimatkan kos sehingga berbilion ringgit bagi tempoh jangka panjang”, kata Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Justeru, kerajaan akan berusaha untuk memperbanyakkan tapak pelupusan seumpama ini pada masa akan datang,” katanya lagi.

Vanitha Vasu
Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia